Monday, October 26, 2009

Laksana Ibadat Haji Dengan Sempurna-Dtk Nasir Sakaran
















SEMPORNA: Menteri DiJabatan Ketua Menteri,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran mengingatkan bakal-bakal jemaah haji yang terpilih menunaikan haji tahun ini sentiasa bersyukur sebagai tetamu Allah dengan melaksanakan rukun-rukun haji dan umrah dengan sempurna serta bersungguh-sungguh kerana Allah SWT.
Katanya,perjalanan ke Bitullah bukanlah semudah yang diucapkan kerana dana kewangan yang digunakan hasil jerih payah yang sekian lama dikumpul sedikit demi sedikit secara menabung melalui Tabung haji untuk menunaikan fardu haji.
Beliau menambah,tujuan ke tanah suci perlulah jelas dan mestilah ikhlas dengan niat dan tujuan semata-mata kerana Allah menunaikan ibadat haji rukun Islam yang kelima.
Nasir berkata,niat yang ikhlas melahirkan ibadat yang sempurna akan mendapat ganjaran pahla yang besar daripada Allah SWT jua.
Datuk Nasir yang juga Adun Kawasan Senallang,berkata demikian sempena meraikan bakal-bakal jemaah haji Daerah Semporna di Dewan Perpustakaan daerah itu.
Hadirsama sempena majlis itu Pengurus Tabung Haji Daerah Semporna,Haji Mohamad Ahmadur, Wakil Pegawai daerah Semporna,Haji Abdullah Sukka dan Pegawai kanan JHEAINS Semporna,Haji Ahmad Mokhtar.
Sehubungan itu Datuk nasir,menasihatkan bakal-bakal jemaah haji sentiasa menjaga kesihatan dan banyak bersabar semasa berada di tanah suci Mekkah Al-Mukarramah.
Katanya,ibadat haji adalah ibadat yang memerlukan kekuatan diri dari segi mental dan fisikal untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dengan lebih selesa dan lancar.
Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam Negeri Sabah,mengingatkan semua bakal jemaah haji sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan Tabung Haji Malaysia dan Kerajaan Negara Arab Saudi.
Nasir menambah, bakal-bakal haji hendaklah sentiasa merujuk kepada Tabung Haji Malaysia sekiranya berhadapan dengan masalah kerana Tabung Haji sentiasa membantu bakal-bakal haji meskipun mereka berada di tanah suci Mekah.
Bakal-bakal haji Daerah Semporna dijangka akan berangkat ke Tanah Suci Mekah 27 Oktober 2009 bersama jemaah Negeri Sabah (penerbangan kedua)

Monday, October 19, 2009

Perkasanya DSN dengan dentum berdentummmmm!


....bermula dengan gagasan Konsep 1Malaysia selepas mengambil alih tampuk pemerintahan tertinggi negara daripada tangan Datuk Seri Haji Abdullah Badawi (sekarang Tun Abdullah Badawi),Perdana Menteri Malaysia Ke-VI,Datuk Seri Najib Tun Abd Razak terus melangkah gagah tanpa menoleh ke belakang dengan penuh tekad menggalas amanah negara,bangsa dan agama ke mercu gemilang.

Konsep 1Malaysia,Rakyat didahulukan,pencapaian di utamakan menjadi slogan untuk memperjuangkan nasib rakyat majmuk negara yang merentasi pelbagai budaya,anutan agama mahupun fahaman politik.

Namun sejauh mana keberkesanan gagasan itu masih terlalu awal untuk dipertikaikan kerana Datuk Seri Najib (DSN) belum pun panas menduduki kursi nombor satu negara itu dan ianya masih memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan.Yang jelas rakyat jelata ingin benar melihat konsep tersebut dilaksanakan sesegera mungkin kerana rakyat disegenap pelusuk tanah air memerlukan banyak pembangunan apa lagi mereka yang bergelar Miskin Tegar dan KIRT/PPRT yang sering di hidangkan dengan pelbagai program termasuklah Skim Program Kesejahteraan Rakyat(SPKR) dan berbagai skim kini terus menunggu pelaksanaan Konsep 1Malaysia yang menjanjikan kebahagiaan kepada rakyat khususnya masyarakat di luar bandar.


Bercakap mengenai konsep 1 (Satu) bagi rakyat Sabah ianya tidaklah menghairankan sangat kerana di negeri ini pelbagai satu ini sudah lama mereka saksikan seperti Satu Produk,Satu Kampung;Satu Industri Satu Daerah dan yang paling gah dan tersohor di negeri bawah bayu ini...1Borneo yakni sebuah pasaraya yang bertarap antarabangsa (?)

Tidak cukup setakat itu,DSN sekali lagi dengan perkasa mengajak ahli-ahli UMNO merapatkan barisan bergerak maju kehadapan melangkah ke era Reformasi UMNO@Berubah (agaknya kalau dalam istilah agama boleh dikatakan Hijrah dari lemah kepada yang lebih perkasa dalam hidup)

`....Setitik air kita jadikan lautan...'Rapatkan barisannnn(tak tahulah barisan mana,Barisan nasional@BN kah atau barisan-barisan@saf yang mana maksud DSN tu kita tunggu dan lihat)...Biar bumi terbelah dua...biar BERDENTUM guruh di langit....!

Akhirnya DSN melebarkan lagi sayapnya mencanang keputusan kerajaan dengan pengumuman 16 September sebagai Hari Malaysia dan cuti umum.Tarikh yang hanya dirayakan negeri Sabah & Sarawak ini akan di rayakan bersama semua rakyat Malaysia bermula tahun hadapan.

Syabas dan terima kasih DSN.Sepatutnya tarikh keramat itu disambut dan dimeriahkan pada 46 tahun lalu dengan perayaan besar-besaran serta hadiah cuti kepada rakyat Malaysia.tetapi tak apalah kerana membetulkan kekhilafan satu kerja yang mulia....!


Monday, October 12, 2009

Kemenangan BN Di Bagan Pinang Sudah Dijangka-Mahathir


KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sudah menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana ia merupakan kubu kuat BN."Saya amat gembira. Daripada awal lagi saya telah menjangkakan kita (BN) boleh menang kerana itu kawasan kita. Isa (Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad) memang kuat di situ dan orang India juga sokong dia."Saya percaya dia (Mohd Isa) akan menang bahkan saya juga percaya kalau letak orang lain pun kita akan menang. Sekarang, kita juga kena jaga kawasan lain...Kita boleh menang terutama di kawasan parti lawan," katanya.Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Umno Cawangan Pusat Bandar Cempaka di sini, malam Ahad, Dr Mahathir turut mengingatkan anggota parti supaya tidak ghairah dengan kemenangan itu sehingga terlupa melaksanakan tugas yang diamanahkan."Jika Umno terlampau ghairah dengan kemenangan di satu tempat sedangkan kita kalah di banyak tempat...kalau kita lupakan tanggungjawab, saya percaya dalam pilihan raya umum akan datang, mungkin kita tidak capai kemenangan yang baik atau pun kita tak menang," katanya.Ditanya sama ada kemenangan di Bagan Pinang petanda Umno diterima di kawasan berkenaan, beliau berkata sememangnya parti itu mendapat sokongan di situ."Kalau kita tidak berhati-hati, kita tidak ambil berat masalah rakyat, kita tidak ada satu program yang memikat hati rakyat...walaupun kita menang di Bagan Pinang, di tempat lain mungkin kita tidak menang. Kita tidak boleh terlalu ghairah," katanya.Pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang hari ini, BN mempertahankan kerusi berkenaan menerusi calonnya, Mohd Isa yang mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.Mohd Isa memperoleh 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.-- BERNAMA

Niat Haji Perlu Jelas




KOTA KINABALU: Perjalanan ke tanah suci perlulah jelas dan mestilah ikhlas dengan niat pergi ke Makkah Al-Mukaramah semata-mata untuk melaksana ibadat haji kerana Allah SWT serta mendapatkan haji yang mabrur.
Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,berkata dengan niat yang baik Insya Allah bakal haji akan dapat lebih fokas menunaikan ibadat haji dengan betul dan beribadat sebanyak mungkin semasa berada di tanah suci.
Katanya,menunaikan ibadat haji bukanlah untuk mendapatkan ‘title haji’ semata-mata kerana niat yang ikhlas akan menjadikan ibadat haji sempurna dan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT jua.
Datuk Nasir berkata demikian sempena merasmikan kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Sabah bagi musim haji 1430H/2009 di masjid negeri.
Hadirsama sempena majlis itu Pengurus Besar Penyelidikan Dan Pembangunan,Jabatan Haji,Haji Shahruddin Abu Bakar;Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji Negeri Sabah merangkap Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Sabah,Haji Mokhtar Yassin Anjam dan Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah,Haji Mohd Norber Kassim.
Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di negeri Sabah,menjelaskan Lembaga Tabung Haji sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatannya dari masa kemasa demi jemaah haji dapat menunaikan ibadat dengan lengkap dan sempurna.
Katanya,dengan peningkatan perkhidmatan yang diberikan selama ini Tabung Haji telah berjaya mengharumkan Malaysia ke peringkat antarabangsa dimana modul pengurusan haji telah mendapat pengiktirafan negara-negara OIC dan ianya dijadikan rujukan di peringkat antarabangsa.
Kursus Haji Perdana yang dianjur Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah itu disertai 800 orang bakal jemaah haji dan bertujuan memberikan pengetahuan menjalankan amali rukun dan wajib haji dengan tertib serta betul.
Sehubungan itu Datuk Nasir turut menasihatkan bakal-bakal haji sentiasa patuh kepada semua arahan dan panduan keselamatan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji.
Katanya,sebarang masalah mahupun kesulitan yang dihadapi jemaah haji hendaklah dirujuk kepada pegawai-pegawai dan petugas Tabung Haji yangsentiasa bersiap sedia melaksanakan tugas memberikan bantuan.

Sunday, October 11, 2009

103 SRU dibaikpulih & dinaiktaraf


KOTA KINABALU:Tujuh belas sekolah rendah ugama kerajaan negeri Sabah daripada 103 buah di seluruh negeri akan dinaiktaraf serta dibaikpulih bermula tahun ini.
Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,berkata jumlah itu tidak termasuk tiga (3) buah sekolah daripada lima (5) buah sekolah menengah agama di seluruh negeri yang turut dinaiktaraf.
Datuk Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam negeri Sabah,menjelaskan penaiktarafan sekolah-sekolah tersebut melibatkan peningkatan kemudahan asas dan pembinaan bangunan baharu bagi sekolah-sekolah menengah agama Islam Tambunan dan Beaufort yang sebelum ini terpaksa menumpang di bangunan sekolah agama sekolah-sekolah itu.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan kursus haji perdana peringkat negeri Sabah bagi musim haji 1430H/2009M di masjid negeri Sabah.
Nasir menambah,setakat ini negeri Sabah mempunyai 108 sekolah rendah agama islam negeri termasuk sekolah menengah agama diseluruh negeri ini di bawah rancangan Malaysia Ke-10.

Friday, October 9, 2009

Lakaran Cadangan Jambatan Pulau Bum Bum 2006


Rakyat Semporna khususnya penduduk pulau Bum Bum kini tertanya-tanya bilakah jambatan yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar yang telah diumumkan sebelum PRU-12 oleh Perdana Menteri Malaysia (ketika itu Datuk Seri Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi@Pak Lah) kini Tun Haji Abdullah Haji Badawi)akan dimulakan pembinaannya.


Jambatan sejauh hampir 2km yang bakal menghubungkan tanah besar Semporna dengan pulau Bum Bum itu pada mulanya dicadangkan pada awal tahun 2005 dan telah diluluskan serta diumumkan oleh Tun Abdullah Badawi sebanyak dua kali kalau tak silap kita disetiap ucapannya menemui rakyat semasa menjadi Perdana Menterti dan pada masa sama sebelum turun dari taktha Tun Abdullah juga menjanjikan sebuah jambatan untuk Wilayah Persekutuan Labuan yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Negeri Sabah melalui Kuala Penyu (itu tempat yang terdekat dengan WP Labuan aganyalah).


Kini Pak Lah sudah turun dari taktha tertinggi kerajaan Malaysia dan apakah projek jambatan yang menelan ratusan juta ringgit itu turut turun dari taktha (?).Wallahu alam!


...dan inilah juga yang menjadi tandatanya rakyat Sabah khususnya rakyat di Parlimen Semporna tentunya Dun Sulabayan dan DUN Senallang sangat mengharapkan janji kerajaan ini dapat ditunaikan demi untuk keselesaan rakyat kalaupun tidak dapat mensejahterakan mereka.


Sementelaah Tun Abdullah @Tun Lah sendiri sudah pernah menjejakkan kakinya ke pulau Bum Bum semasa merasmikan Sekolah Bestari Pulau Bum Bum semasa menjadi Perdana Menteri dan menziarahi pulau Bum Bum sekali lagi pada awal tahun 2009.


Dua kunjungan Tun Lah yang berbeza masa dan berbeda tujuan tentu sekali menjadi tandatanya rakyat yang banyak menaruh harapan kepada Tun Lah ketika itu namun harapan itu seolah-oleh masih belum jelas dan menjadi teka teki yang belum berjawab hingga kini.


Kehadiran Tun Lah baru-baru ini@awal tahun bersama isteri Tun Jean Abdullah datang menyaksikan kejayaan rakyat pulau Bum Bum di Lok Butun menanam sea weed (Rumpai Laut ) yang banyak dibantu oleh kerajaan negeri Sabah Melalui Kementeri Pembangunan Luar Bandar.Jelas Tun Lah amat berminat mengetahui perusahaan tanaman sea weed itu,aganyalah.


Mungkin pulau Bum Bum telah ditentukan nasibnya hanya menyaksikan pemimpin tertinggi yang telah tiada kuasa menjengguk mereka kerana sebelum Tun Lah berkunjung ke pulau Bum Bum mantan Perdana Menteri Malaysia,Tun Mahathir Mohammad pun pernah menziarahi kampung Lok Butun di pulau itu dan menyaksikan projek perusahaan tanaman Sea Weed itu juga dan seterusnya melakukan lawatan serta bermalam di pulau Mabul.


Dengar khabarnya mantan Perdana Menteri itu pun mcm terkilan apabila melihat keindahan pulau pulau di Semporna dan kejayaan penduduk Lok Butun menanam sea weed ini.Konon katany TunMahathir,mengapa semasa dia menjadi Perdana Menteri dia tidak dibawa melawat ke pulau Bum Bum dan daerah Semporna yang menjadi jolokan SYURGA MENYELAM DASAR LAUT dan menjadi daya tarikan pelancong luar hingga terkenal di seantero dunia kini kerana keindahan pulau-pulau serta air lautnya yang jernih bak kilauan intan mutiara?


Cadangan pembinaan jambatan Semporna-pulau Bum Bum yang memakan waktu penantian hampir lima tahun kini tetap ditunggu-tunggu semua rakyat kerana dengan pembinaan,dengan adanya jambatan itu akan mampu menganjak taraf ekonomi rakyat sekaligus dapat menyelesaikan banyak masalah rakyat yang ditanggung selama ini.Bukankah?


Namun apakah impian ini akan tercapai dan menjadi kenyataan atau menunggu lagi...menunggu lagi...dan terus menunggu seperti menucari sungai tidak ber hulu...atau menunggu genta gempita gendang perang Pilihan Raya Umum Ke13 untuk diumumkan kesekian kalinya? Wallahualam!

Syukuri & Ikhlas Nafkahkan Keluarga











SEMPORNA:Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,mengingatkan rakyat negara ini sentiasa mensyukuri nikmat pembangunan yang dikecapi selama ini yang telah memungkinkan kerajaan berupaya mengungkayahkan pelbagai bantuan kepada rakyat yang memerlukan pembelaan.
Katanya,kerajaan memang cukup prihatin membela nasib rakyat dan rakyat pula seharusnya tahu menilai serta menghargai bantuan yang diberikan dengan memanfaatkan apapun bantuan yang diterima untuk memajukan diri meningkatkan taraf hidup keluarga.
Nasir yang juga Adun Kawasan N.53 Senallang berkata demikian sempena menyampaikan bantuan peruntukan Adun kepada 90 orang penerima bantuan di pejabat Dun Senallang di sini.
Sempena majlis itu Nasir menyampaikan bantuan injin sangkut kepada 20 orang nelayan pantai;50 orang penerima bantuan atap zink dan 20 orang penerima bantuan bangku untuk keperluan 20 buah surau di kawasan Dun Senallang.
Sehubungan itu Nasir mengingatkan semua penerima bantuan memanfaatkan bantuan tersebut untuk kepentingan rakyat serta meningkatkan taraf hidup keluarga.
Katanya,selama ini kerajaan telah memberikan bantuan enjin sangkut dan telah banyak membantu nelayan pesisir pantai meninkat taraf hidup sehingga dapat menyekolahkan anak anak mereka hingga ke menara gading dan mampu menggalas jawatan tinggi dlm perkhidmatan awam hatta jadi ahli korporat jutawan masa kini.
Ujarnya,inilah hakikat yg tidak dapat dinafikan dan disangkal `seeing is believing’ dengan syarat penerima yakni nelayan pantai tidak menjual bantuan injin sangkut yang diterima sebaliknya memanfaatkan untuk mencari rezeki menafkah anak-anak dan keluarga mereka.
Nasir menambah,dengan berkat niat yang ikhlas memperjuangkan nasib keluarga serta mencari rezeki untuk keluarga ianya akan dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT jua.Oleh:ARSHAD HUSSIN

Wednesday, October 7, 2009

Pondok ini kubina untuk menenangkan jiwa nan lara...

......pondok ini belum lama dibina.itupun selepas mendapat suntikan semangat dari seorang kawan yang baru berhenti dari suratkhabar dan kini berkhidmat dengan seorang ahli politik wanita.sebagai seorang manusia yang sentiasa menyahut cabaran pondok ini dibina perlahan-lahan dengan keupayaan tenaga yang sudah mulai tua.
Bermula dengan pencarian tapak yang kecil dan sedarhana pondok ini dibina dengan memiliki ruang yang kecil namun,cukup untuk memulai kehidupan sekaligus untuk memerdekakan minda dari pelbagai tekanan,cabaran selain tugasan yang kekadang menyentak dan mengHENTAK perasaan.
Syukur Alhamdulillah,sebuah pondok yang agak kecil dengan atap,dinding dan tiang serta tangga daripada bahan tepatan cukup memberikan sedikit ketenangan.Kemudian pengisian ruang tamu ditempatkan beberapa koleksi kenangan dan catatan serta aktiviti mingguan yang melibatkan tugasan.
Sebenarnya pondok ini didirikan bertujuan untuk menghidangkan aktiviti yang melibatkan tugasan pejabat maupun luar kawasan untuk dikongsi bersama semua orang yang ingin mengetahui pelbagai peristiwa berlaku disesuatu kawasan yang tidak sempat mereka kunjungi.
Berbekalkan sedikit pengetahuan informal dan pendidikan yang cukup kerdil,akhirnya kupersebahkan pondok kreatif MEMERDEKAKAN MINDA untuk ibu tuaku yang banyak berjasa dlm kehidupan ini,demikian juga kepada ayah tiriku yang telah berkorban membesarkan,memberikan kami kesempatan belajar walaupun tidak sampai ke menara gading.
Menara gading yang pernah menjadi impian namun, syukur pada Illahi kerana cita-cita itu kini digalas puteri sulungku yang kini dalam tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepuian (Komunikasi).
Pondok ini,pondok purba tempat menenangkan dukalara jiwa.....terima kasih Tuhan!

Monday, October 5, 2009

Merindui kawan-kawan lama...

Salam lebaran kawan2.baru-baru ni saya bersama seorang jurugambar Berita Harian yang cukup gah di negeri bawah bayu ni dan juga seorang pendeklamasi sajak/puisi yang hebat;Datu Ruslan Sulai pergi menghadiri majlis rumah terbuka seorang kawan lama di Taman di King Fisher.
Tentu saja hidangan yang cukup menyelerakan selepas menamatkan puasa selama sebulan.Sambil makan sambil bersembang.Apa lagi kitapun berborak mengenai hal-hal keluarga dan aktiviti masa kini.
Yang menariknya kisah-kisah lama tentang kekawan lama dan persatuan-persatuan,kumpulan kesenian yang pernah di anggotai tahun 1980'an.Kumpulan Anak Seni dan kawan2 dari kumpulan ASAS.
Datu Usman mencadangkan supaya dibentuk jawatankuasa bagi mengumpul kembali semua kawan2 lama yang pernah aktif dalam persatuan kesenian seperti kumpulan Anak Seni,Rusibah,ATAP,Kerabat Pemuisi Kinabalu,Grup Teater Asyik dan banyak lagi.
Kita rasa kawan-kawan lama yang cukup kreatif dalam bidang teater,deklamasi puisi seperti Haji Ismaily Bungsu,Masbak Rumashid,Jasuin Muhammad,Mariam Omar,Nong Shamsiah,Attila J.Ahmad,Musa Masran dll tentu kepingin bertemu dan menceritakan aktiviti masing2 masa kini dan apa masih aktif atau.....
Cadangan Datu Usman agar dibentuk satu jawatankuasa sementara namun siapakah yang mampu melakukannya ? Syukur Hussin,Ismail Bungsu atau.....?

Pertahan Perpaduan Melalui gagasan 1Malaysia





Meski Syawal mula melangkah pergi meninggalkan medan kemenangan namun usaha meraikan handai taulan,rakan sahabat tetap masih berkumandang dengan ucap salam lebaran lewat undangan majlis rumah terbuka.
Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran dan isteri Datin Hajjah Rokiah Haji Badar dan keluarga yang mengadakan rumah terbuka di kediaman Kampung Air Semporna pada Hari Raya Aidilfitri kedua turut mengadakan majlis rumah terbuka di kediaman Jalan Tuaran meraikan sanak saudara dan sahabat handai.
Majlis yang sedarhana tetapi meriah itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat,Datuk Dr.Yee Moh Chai;Pengerusi MUIS,Datuk Haji Syed Abas Syed Ali;Pengerusi Perbadanan Baitul Mal Negeri Sabah,Datuk Haji Harman Mohammad;Adun Kawasan Bugaya,Datuk Haji Ramlee Marahaban dan isteri,Datin Sarimah Besuran;Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan,Datuk Haji Ujang Sulani;Pengarah JHEAINS,Haji Amri Suratman;Pencetak Kerajaan Negeri Sabah,Haji Salsidu Hj Ibrahim dan isteri,Pengarah UPKR Negeri Sabah,Aliasghar Basri dan sahabat handai dari pelbagai suku kaum.
Nasir yang ditemui sempena majlis itu menjelaskan perpaduan kaum perlu dipertahan melalui gagasan konsep 1Malaysia yang mampu merentasi budaya suku kaum khususnya di negeri Sabah yang telah lama berakar umbi sejak sekian lama.


Katanya, dengan mengamalkan adat budaya yang sentiasa mengutama hidup berkasih sayang serta saling menghormati sesama kaum tanpa mengira kedudukan pangkat dan martabat akan lebih membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua rakyat.
Beliau menambah,kehidupan rukun damai yang dikecapi rakyat negara ini berlandaskan kepada perpaduan kaum yang dipelihara sejak sekian lama harus dipertahankan demi kesejahteraan hidup sekaligus pemangkin kearah pembangunan ummah sejagat.
Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam menjelaskan,kerajaan sentiasa bersikap positif dan terbuka membangunkan rakyat negeri ini terutamanya rakyat di kawasan-kawasan luar bandar melalui pendekatan secara bersepadu antara kemajuan dengan pembangunan melalui penguasaan ilmu,kefahaman agama serta bidang kemahiran demi mengukuhkan kekuatan rohani,fizikal serta mental rakyat.
Pendekatan itu dikhususnya kepada generasi muda-mudi Islam melalui pembudayaan ilmu berteraskan iman,ibadah dan nilai-nilai akhlak mulia.
Semua ini merupakan asas dan kunci yang mampu meningkat kejayaan,kecemerlangan dan kegemilangan umat Islam dan rakyat amnnya.

Sabah hantar 65 orang Pelajar Perubatan Ke Mesir




Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,mengingatkan pelajar-pelajar yang telah dipilih belajar dalam bidang perubatan di enam buat IPTA Mesir bagi tahun 2009 menumpukan pelajaran sepenuhnya dan tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti negatif yang merugikan negara dan diri sendiri.
Katanya, pelajar-pelajar seharusnya membulatkan tekad dan membudayakan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam semua aspek kehidupan.
Beliau menambah,tidak ada jalan pintas untuk mencapai sesuatu kejayaan kerana banyak cabaran serta rintangan yang diharungi sebelum sampai ke puncak kecemerlangan.
Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah berkata demikian sempena majlis penyerahan Surat Tawaran Bantuan Pelajaran kepada 65 orang bakal pelajar perubatan IPTA Mesir tajaan kerajaan negeri melalui Pusat Zakat Sabah dan MARA yang akan berangkat ke Mesir hari ini (Selasa 06/10/09)
Hadirsama sempena majlis itu Timbalan Pengerusi MUIS,Aspah Abdullah Sani;Pengarah JHEAINS,Haji Amri Suratman;Timbalan Pengarah Bah.Pentadbiran JHEAINS,Haji Rumaling Epit KPP Pusat Zakat Negeri Sabah;Pengurus Kumpulan Bahagian Pembangunan Pendidikan Yayasan Sabah; Haji Darus Nasir; Peguam Syarie,Badru Said & Associates,Datin Saidatul Badru Tun Said dan KPP Bahagian Dermasiswa & Latihan JPAN,Encik Sarbini Haji Jadin
Nasir berkata,program penghantaran pelajar-pelajar cemerlang anak negeri Sabah ke Mesir telah bermula sejak tahun 2006 dimana para pelajar ini melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di enam buah universiti negara Mesir iaitu di Universiti Alexandaria;Universiti Cairo;Ain al Syam,Zaqaziq;Tanta dan Mansorah Universiti selepas beliau dan rombongan mengadakan lawatan kerja ke negara Mesir pada tahun 2005.


Beliau menjelaskan hasil dari lawatan tersebut Kerajaan Mesir menawarkan 50 kouta khas kepada negeri Sabah untuk anak-anak negeri ini yang berkelayakan dan berminat mengikuti pengajian seterusnya menjadi pengamal perubatan konvensional dimana tawaran daripada kerajaan Mesir telah disampaikan sendiri kepada beliau oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir.
Nasir menjelaskan,pada masa ini seramai 65 orang pelajar sedang mengikuti pengajian dalam ilmu perubatan dan 19 orang daripada mereka akan meneruskan pengajian ke tahun empat bagi sessi 2009/2010 dan dua orang daripada pelajar tersebut juga telah dianugerahkan sebagai pemegang Anugerah Cemerlang yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri.

Thursday, October 1, 2009

Camar Yang Pulang-r.syad hussin


Camar yang pulang

kini terbang bebas di awan

terbang dari dahan ke dahan

sambil memacakkan gada-gada merah

di puncak kinabalu


Camar yang pulang

kini terbang bebas di angkasa

sambil membalut luka lama

kekadang berdenyut menjentik

namun,dia tak pernah berpaling

jauh sekali menoleh kebelakang

pada sawah ladang padi malinja

meski kudup bunga kasih berbunga mutiara

dia tatap angkuh mendabik dada

tapi bukan bergalas dendam


camar yang pulang

terbang bebas menebarkan sayap

disegenap ruang

tanpa jenuh

tanpa jemu

berlari ditengah malam hening

mencari wajah Tuhan!

Kuatkuasa undang-undang khas bina surau di premis perniagaan-Datuk Nasir:




Kota Kinabalu: Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran meminta kerjasama premis perniagaan menyediakan ruang kemudahan beribadah yang lengkap dan selesa.
Katanya,meskipun setakat ini belum ada peruntukan undang-undang khas yang mewajibkan mana-mana premis perniagaan dan penggiat industri pelancongan di negeri ini menyediakan ruang ibadah seperti surau dan masjid dikawasan mereka sebaliknya ia hanya wujud sebagai tanggungjawab sosial semata-mata.
Sehubungan itu Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah menyarankan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan menguatkuasakan undang-undang bagi mewajibkan setiap premis,pusat beli belah dan pusat-pusat peranginan di negeri ini menyediakan kemudahan beribadah yang mampu memberikan keselesaan kepada pelanggan mereka.
Katanya penguatkuasaan undang-undang itu penting bagi memastikan setiap penggiat industri ekonomi dan pelancongan di negeri ini memberi keselesaan kepada pelanggan beragama Islam.
Baliau menambah,keperluan penyediaan ruang ibadah itu kini amat mendesak memandangkan kebanyakan pelancong ke negeri ini bukan hanya tertumpu dari negara barat sahaja malah melibatkan pelancong dari negara Timur Tengah dan Negara Brunei Darussalam.
Datuk Nasir berkata demikian sempena mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya.
Hadirsama sempena majlis itu Menteri Pembangunan Sumber Dan Kemajuan Teknologi Maklumat,Datuk Dr. Yee Moh Chai; Pengerusi MUIS,Datuk Haji Syed Abas Syed Ali;Pengerusi Perbadanan Baitul Mal Sabah,Datuk Haji Harman Mohammad; Adun Kawasan Bugaya,Datuk Haji Ramlee Marahaban dan isteri,Datin Sarimah Besuran;Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan tempatan dan Perumahan,Datuk Haji Ujang Sulani;Pengarah JHEAINS,Haji Amri Suratman;Pencetak Kerajaan Negeri Sabah,Haji Salsidu Haji Ibrahim dan isteri; Setiausaha Agung USIA,Datuk Haji Abdullah Hussin; sanak-saudara dan sahabat-handai,
Katanya,ruang-ruang ibadah yang disediakan dikebanyakan premis dan pusat membeli-belah di negeri ini adalah terhad dan maksimum hanya mampu menampung jemaah sehingga 10 orang sahaja selain kemudahan beribadah seperti ruang wudhu yang kurang selesa dan biasanya surau ini diletakkan dikawasan letak kereta dan kawasan yang tidak sepatutnya.