KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah,Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,mengingatkan umat Islam perlu memperbetulkan persepsi terhadap fungsi sebenar Al-Qur'an disamping berani melakukan `tadabbur' ayat-ayat Allah dan mencungkil gagasan-gagasan yang terkandung di dalamnya demi mencapai kemajuan serta kejayaan.
Katanya,dalam erti kata yang lain,umat Islam tidak boleh menyempitkan peranan Al-Qur'an itu hanya sekedar untuk dihafal dan dibaca bagi menunaikan ibadah-ibadah khusus semata-mata dan mengabaikan peranan utama penurunan Al-Qur'an.
Jelas beliau, ini kerana ia boleh menjadikan umat Islam bertambah jauh serta tercicir daripada arus pembentukan ilmu pengetahuan sehingga umat Islam akan terus berkiblat dan bertaklid secara membuta tuli kepada teori-teori yang dicipta oleh Barat.
Musa berkata,melalui pemahaman yang betul,Al-Qur'an mampu memperkasa sesebuah bangsa dan negara dan atas hakikat ini langkah melahir generasi yang celik Al-Qur'an harus dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh umat Islam.
Tegasnya lagi,pendekatan memahami isi kandungan Al-Qur'an membolehkan umat Islam mencintai keamanan dan kemakmuran kerana itulah juga antara perkara yang terkandung dalam Al-Qur'an.
Datuk Musa berkata demikian sempena perasmian Seminar Al-Qur'an Rasm Uthmani peringkat Negeri Sabah 2009 anjuran bersama Kementeri Dalam Negeri dengan Kerajaan Negeri Sabah.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri DiJabatan Ketua Menteri yang juga menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam Negeri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran.
Hadirsama sempena majlis itu Wakil Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,Datuk Ahmad Fuad Abd.Aziz; Pengerusi Majlis Ugama Islam Negeri sabah (MUIS) Datuk Haji Syed Abas Syed Ali; Pengarah Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah,Datuk Haji Amri Suratman,ketua-ketua jabatan kerajan serta pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.
Sehubungan itu,langkah menjadikan Al-Qur'an sebagai sebahagian kurikulum di sekolah menunjukkan keprihatinan dan keikhlasan kerajaan ingin melihat umat Islam di negara ini berjiwa besar dan terus maju.
Katanya,dalam kerengka ini,umat Islam hendaklah bangun dan bergerak sendiri dengan kekuatan petunjuk Al-Qur'an ke arah membugarkan semangat berdikari dan harus melakukan penghijrahan minda dan berdaya maju menerusi perubahan sikap serta perancangan kerja yang tersusun berlandaskan petunjuk wahyu Illahi.
Disamping itu apa yang pasti,katanya kekuatan intelektual dan ekonomi bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam sekelip mata sebaliknya memerlukan rangkuman penyatuan sikap,hala tuju,kesungguhan dan kerjasama melalui ikatan kepimpinan yang kental.
Musa menambah,perjalanan ke arah itu masih jauh dan berliku namun,semuanya bermula dengan langkah pertama yang baik dan bijak.
Musa berkata,cabaran terbesar umat Islam dalam era globalisasi ini ialah menangkis serangan barat terhadap Islam dimana pihak-pihak yang tidak senang dengan Islam menggunakan kaedah-kaedah serangan budaya dengan menyelitkan pelbagai budaya songsang terhadap pemikiran umat Islam khususnya golongan muda.
Sehubungan itu,ujar beliau umat Islam hendaklah menghayati amalan beragama yang sebenar dalam membina negara yang aman,makmur dan bersatu padu dalam usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang utuh dan disegani melalui gagasan 1Malaysia dengan pemahaman yang betul bagi memacu peradaban dan memertabatkan tamadun bangsa sekaligus membersihkan persepsi negatif Barat terhadap Islam.
No comments:
Post a Comment