Thursday, January 21, 2010

Tanggungjawab Sosial Korporat Demi Kesejahteraan Rakyat-Datuk Seri Musa





SHAMRY M SANI

TAWAU : Ketua Menteri Datuk Seri Musa Hj Aman menggesa syarikat syarikat berkaitan kerajaan GLCs di negeri ini dapat mencontohi Sabah Softwood Berhad dalam menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, syarikat syarikat lain perlu memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Masjid Al Abrar, Dumpas terletak di KM 40, Jalan Merotai Kalabakan di sini yang dibiayai bersama antara Sabah Softwoods Berhad, Kerajaan Negeri Sabah dan sumbangan Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Panglima Hj ABd Ghapur Hj Salleh.

Perasmian masjid disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah.

Dalam ucapannya lagi, Datuk Musa menegaskan bahawa kerajaan sentiasa berusaha memacu pembangunan dalam pelbagai bidang demi untuk kesejahteraan rakyat termasuklah memenuhi keperluan beribadat sesuai dengan tuntutan agama.

Sejarah perkembangan Islam katanya mencatatkan bahawa masjid tidak hanya berfungsi sebagai tempat ibadah semata mata.

“Sebaliknya dalam membina dan memajukan masyarakat dan negara, Rasulullah SAW menjadikan masjid sebagai pusat utama aktiviti masyarakat Islam pada ketika itu”, ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Softwoods Berhad Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing berkata, pembinaan masjid Al Abrar yang boleh menampung kira kira 600 orang jemaah pada satu satu masa telah membuka lebaran baru dan usaha murni dalam menegakkan syiar agama di sekitar kawasan itu.

No comments:

Post a Comment