Tuesday, February 23, 2010

KPKT peruntuk RM13.2J Laksana Local Agenda 21-DSP Lajim Ukin

ALBUM KENANGAN…Lajim dan rombongan turut mengabdikan gambar kenangan bersama keluarga Awang Karim yang dibantu diperbaiki rumah kediaman beliau di kampong Mempakul


MENUMBOK: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun ini telah memperuntukan sejumlah RM13.2 juta untuk melaksanakan program Local Agenda 21 di seluruh negeri

Timbalan Menterinya Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, dari jumlah tersebut sebanyak RM 187,000 diperuntukan bagi melaksanakan local Agenda 21 Pendidikan Awam dan RM 137,000 untuk Local Agenda 21 latihan yang mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan rakyat di Negara ini.

“ Setakat ini kita telah melaksanakan tiga program Local Agenda iaitu di dua daerah di Sarawak Daerah Mukah dan Lundu sementara Daerah Kecil Menumbok Sabah merupakan program Local Agenda 21 yang ketiga dilaksanakan oleh kementerian ini “ katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Program Local Agenda 21 dan Hari Pemuda 1 Malaysia di padang Pekan dekat sini pagi kemarin.

Hadir sama Yang Rakyat Kawasan Kuala Penyu John Teo Mau Sing ,Pegawai Daerah Edmond Teo,Pegawai Eksuktif Majlis Daerah Kuala Penyu Haji Mohd.Fazlee Abdullah,Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort Isnin Haji Ali Asnih dan Ketua Pergerakkan Pemuda Umno bahagian Beaufort Mohd.Ishak Haji Ibrahim



MESRA…Lajim bersalaman dengan masyarakat tempatan sejurus tiba di majlis tersebut


Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort kementerian beliau akan terus melaksanakan program tersebut di beberapa buah daerah di negeri ini yang akan diekndalikan oleh pihak berkuasa tempatan di kawasan masing-masing.

Lajim menambah melalui program Local Agenda 21 rakyat setempat bukan sahaja dapat mengukur sejauh mana sistem penyampaian pihak berkuasa tempatan di kawasan masing-masing dapat dinilai sekali gus ianya akan menjadi medan bagi rakyat memberikan maklum balas dan mengemukakan sebarang aduan dan masalah kepada pihak PBT untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya,

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort Melalui Local Agenda 21 juga, masyarakat tempatan boleh melibatkan diri untuk mengenalpasti dan mengkaji isu-isu pembangunan mampan, membentuk pelan tindakan untuk menangani isu-isu tersebut dan melaksanakan pelan tindakan

“Pendekatan asas program ini ialah pendekatan "bottom-up", atau dari akar umbi ke atas iaitu penduduk-penduduk tempatan sendiri akan terlibat dalam menentukan pelan tindakan bagi kawasan masing-masing” katanya

Beliau menambah Program ini juga akan menjadi pemangkin kepada pengwujudan semangat perpaduan dan muhibah antara eleman yang penting bagi rakyat untuk terus berkerjasama dan memberikan sokongan kepada kerajaan untuk menjayakan Gagasan 1 Malaysia

Di majlis tersebut Lajim turut menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang upaya, sumbangan peralatan sukan kepada golongan belia, menyertai sukan rakyat, dan majlis gotong royong bagi membaiki rumah Awang Damit Haji Karim di kampong Mempakul Menumbok Oleh: Jaafar Abdul Wahid






























































































































G.

ALBUM KENANGAN…Lajim dan rombongan turut mengabdikan gambar kenangan bersama keluarga Awang Karim yang dibantu diperbaiki rumah kediaman beliau di kampong Mempakul

PUTERI UMNO BEAUFORT BUKA KAUNTER PENDAFTARAN SEMASA PELANCARAN UMNO JUARA RAKYAT

BEAUFORT: Sempena dengan pelancaran Umno Juara Rakyat peringkat Parlimen Beaufort di padang Pekan Beaufort ahad ini, Pergerakan Puteri Umno akan melancarkan kempen pendaftaran keahlian dan juga daftar pemilih di gerai pemeran pergerakan tersebut

Ketuanya Saridah Datuk Seri Panglima Mohd.Dun (gambar) berkata, kaunter khas ini dibuka bagi memberikan peluang kepada golongan muda untuk menyertai Umno khususnya pergerakan Puteri disamping memberikan kemudahan kepada golongan muda yang telah pun mencapai umur yang ditetapkan untuk mendaftar sebagai pengundi.

" Ini merupakan salah satu usaha pergerakan ini bagi mendekati dan memberikan kemudahan bagi golongan muda bukan sahaja mendaftar sebagai ahli parti namun kemudahan untuk mendaftar sebagai pengundi" katanya ketika ditemui di sini pagi kemarin.

Sementara itu Pergerakan Pemuda Umno bahagian Beaufort pula semasa pelancaran program ini juga turut melancarkan Rakan Cop sebagai satu usaha membantu pihak berkuasa khususnya Polis untuk menangani beberapa masalah sosial di kawasan tersebut.

Ketuanya Mohd.Ishak Haji Ibrahim berkata, pergerakan tersebut terpanggil untuk membantu pihak berkuasa Polis melalui rakan Cop untuk menangani beberapa masalah sosial yang membabitkan golongan belia khususnya di kawasan tersebut.

" Kita sedar tanggungjawab untuk menangani masalah sosial ini bukan semata-mata menjadi tanggungjawab pihak polis namun sebagai pemimpin dan anggota masyarakat pergerakan pemuda akan bersama membantu pihak berkuasa menanganinya" katanya

Malah menurut Mohd.Ishak pergerakan tersebut telah dan akan melaksanakan beberapa porgram untuk mendekati golongan muda ini termasuklah aktiviti riadah, sukan, seminar dengan menjadi golongan muda sebagai rakan sebaya yang perlu dibentuk jatidiri, moral dan akhlaknya.

Turut dilancarkan semasa majlis Pelancaran Umno Juara Rakyat peringkat Parlimen Beaufort kali ini ialah Skud Sayang Pergerakan Wanita Umno bahagian Beaufort.

Projek Sayang adalah jenama baru Wanita Umno serta Wanita BN untuk melaksanakan kerja kebajikan, kesukarelaan dan kema-syarakatan sebagai menepati hasrat Umno serta memenuhi keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Projek itu mengambil konsep yang mudah dan praktikal untuk merealisasikan ikatan kasih sayang dan kebajikan serta mengekalkan hubungan silaturahim bersama rakyat melalui pendekatan yang mesra, mudah dan pantas.

Melalui Projek Sayang, Wanita Umno mewujudkan Skuad Sayang dan Stor Sayang di setiap negeri sebagai langkah proaktif memberi perkhidmatan di waktu kecemasan dan lain-lain waktu kesusahan untuk rakyat yang memerlukan.





UMNO Juara Rakyat Wadah Penyampai Maklumat Dasar & Program Kerajaan-DSP Lajim Ukin



TENAGA PENGERAK….Lajim (tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Pelaksana Umno Juara Rakyat Peringkat Parlimen Beaufort selepas mesyuarat tersebut

KOTA KINABALU: Program Juara Rakyat yang diperkenalkan oleh Umno akan menjadi wadah bagi parti menyampaikan maklumat berhubung dengan dasar serta program yang telah dan akan dilaksanakan oleh parti dan kerajaan untuk makluman rakyat di peringkat akar umbi.

Ahli Majlis tertinggi Umno Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, program itu akan merangkumi bidang ekonomi, sosial, pendidikan, belia dan sebagainya supaya Umno dilihat lebih semarak dan bertenaga

“Program ini, merupakan satu program transformasi Umno untuk mendekati masyarakat hingga ke peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir jawatankuasa pelaksana Program Umno Juara Rakyat Paringkat Parlimen Beaufort di sini pagi kemarin.

Hadir sama di Majlis tersebut Timbalan Ketua Umno Bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih,Naib Ketua Bahagian Datuk Kimjus Duim,Setiausaha Umno Bahagian Haji Jusih Haji Sarin, Ketua Penerangan Umno Bahagian yang juga pengerusi penganjur Program Umno Juara Rakyat Haji Samin Haji Ongki,Bendahari Umno bahagian Mohd.Zahari Mohd.Zinin dan Ketua Pergerakan Puteri Saridah Datuk Mohd.Dun.

Program Umno Juara Rakyat Peringkat Parlimen Beaufort akan diadakan pada ahad ini bertempat di Padang Pekan Beaufort yang bertemakan Pendidikan dan kebajikan dan dijangka akan dilancarkan oleh, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Dato Seri Utama Dr. Rais Yatim

Menurut Lajim yang juga Ketua Umno bahagian Beaufort ,program Umno Juara Rakyat juga akan dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Umno khususnya di bahagian itu bagi membolehkan rakyat menilai prestasi parti itu dalam memajukan pembangunan dan ekonomi negeri khususnya rakyat ini .

Katanya, melalui program itu rakyat boleh menyaksikan kemajuan dalam pembangunan dan ekonomi sejak kerajaan Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri

Beliau menambah dengan adanya program seumpama ini,UMNO dapat mengaktifkan jentera parti supaya lebih dekat dengan rakyat dan seterusnya memenuhi peranan UMNO dan BN sebagai pendokong cita-cita rakyat.

“Kita mahu pemimpin Umno dan Barisan Nasional peka kepada permasalahan rakyat dan sanggup mengambil tindakan menyelesaikan masalah mereka” katanya

Sempena dengan pelancaran Program Umno Juara Rakyat Peringkat Parlimen Beaufort kali ini pelbagai acara telah siap disusun antaranya penyampaian anugreh Pelajar cemerlang kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR, penyampaian sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan, penyerahan kunci rumah kepada para penerima bantuan rumah melalui program PPRT,persembahan kebudayaan yang melambangkan konsep 1 malaysia, juga penyertaan sebanyak 30 gerai pemeran dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan oleh: Jaafar Abdul Wahid

Sunday, February 21, 2010

Jangan Salahguna Kemudahan IT -Datuk Nasir:

SALAM PEMIMPIN...Datuk Nasir (dua kanan) diringi Abd Rashid Mamun (kanan) bersalaman dengan sebahagian Keta-Ketua Cawangan UMNO Dun Senallang dan ketua-ketua kampung sempena majlis itu di Semporna.

SEMPORNA: Menteri DiJabatan Ketua Menteri,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, mengingatkan rakyat negeri ini khususnya ahli-ahli blog tidak menyalahgunakan kemudahan Teknologi Maklumat (IT) laman-laman blog dan Blog Sosial Muka Buku (Face Book) sebagai wadah pelampias nafsu amarah; kebejatan sosial atau sebagai pelantar mengutuk individu dan kerajaan.


Nasir menegaskan,zaman ledakan teknologi maklumat yang semakin canggih kini mampu memudahkan tugas menyampaikan maklumat,wadah penghubung perpaduan kaum dan mengukuh ikatan silaturrahim sesama bangsa di dunia seandainya dimanfaatkan dengan baik dan sepenuhnya.

Katanya,jaringan internet dan laman-laman web sudah lama merentasi segenap pelusuk dunia dan ianya perlu dipelajari untuk menganjak paradigma minda,gaya hidup dan kemajuan ekonomi.



BERSATU BERSETIA...Datuk Nasir (depan tengah):Abd Rashid (dua kanan) bersama sebahagian AJK UMNO Semporna turut menyanyikan lagu UMNO sempena majlis itu di Semporna.


Datuk Nasir yang Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna, menyarankan pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi khususnya Ketua-Ketua Cawangan UMNO;Ketua-Ketua Pemuda dan Puteri UMNO meningkatkan ilmu pengetahuan Teknologi Maklumat ini sebagai ilmu bantu melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada parti.

Nasir menambah, teknologi maklumat di hujung jari ini juga merupakan usaha dan kemajuan yang telah dibangunkan para pemimpin kerajaan semata-mata untuk kemudahan rakyat berkomunikasi serta menjana ekonomi disamping mampu sebagai landasan untuk merealisasikan hasrat kerajaan pimpinan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Abd Razak menjayakan misi gagasan Konsep 1Malaysia.

Datuk Haji Nasir yang juga Adun Kawasan Senallang berkata demikian sempena merasmikan majlis Taklimat Pemutihan Kemaskini Data Keahlian UMNO 2010 P.189 Semporna.

Hadirsama sempena majlis itu Setiausaha Bahagian UMNO Semporna,Abdul Rashid Mamun; Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang,Haji Tahir Amir; Ketua Daerah,OKK Haji Musa sabaani serta AJK-AJK Bahagian,wakil-wakil ketua pemuda,wanita dan puteri UMNO Semporna.

Sehubungan itu,Nasir menasihatkan semua ketua-ketua cawangan Bahagian UMNO Semporna mengemaskini data keahlian cawangan mereka serta sentiasa berhubung dengan setiausaha bahagian bagi kelancaran dan juga pemutihan senarai keahlian cawangan yang terkini.Oleh:ARSHAD HUSSIN



Wednesday, February 17, 2010

Amalan Kunjung Mengunjung Penyumbang Utama Perpaduan-Datuk Nasir Tun Sakaran

                                KENANGAN TAHUN BARU...Datuk Nasir (empat kanan) mengabadikan gambar kenangan Tahun baru Cina 2010 di kediaman Kapitan Cina Datuk Chao Yan San (duduk empat kanan) bersama Datuk Chua Ching wah (duduk tiga kiri);Datin Lim Siew Moi (duduk dua kiri) sempena majlis itu di Bubul Semporna.


SEMPORNA: Budaya kunjung mengunjung di setiap perayaan suku-suku kaum di Sabah memang telah lama wujud sejak sekian lama dan telah menjadi faktor utama penyumbang kepada perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negeri bawah bayu itu.
SALAM MESRA KAUM...Datuk Nasir (dua kiri) diperhatikan Datuk Chua ching Wah (kiri) bersalaman dengan Datuk Chao Yan San (dua kanan) sempena majis Tahun Baru Cina di Bubul Semporna.


Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,menjelaskan kesediaan suku-suku kaum menerima tetamu di setiap sambutan perayaan ke rumah mereka merupakan landasan utama mengerat perpaduan rakyat yang mampu mengukuhkan lagi keamanan,kesejahteraan serta kemakmuran hidup di negara ini.
APA KHABAR...Datin Rokiah (dua kiri) disaksikan Datuk Nasir (kiri) bersalaman dengan salah seorang warga emas yang turut memeriah majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kediaman Winson Yick di Semporna sementara gambar kanan Datuk Nasir (kanan) diperhatinkan Kapitan Ong Hang Seng (dua kanan) beramah mesra dengan isteri Ong Hang Seng (duduk kiri) sempena kunjungan Tahun baru itu di Semporna.


Katanya,perpaduan dan persefahaman di kalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama seharusnya terus dipertahankan serta diterapkan dengan nilai-nilai budaya yang positif sebagai teladan contoh kepada generasi baru yang bakal menjadi penerus kepimpinan negara.


KENANGAN TAHUN BARU....Datuk Nasir (duduk dua kiri);Datin Rokiah(kiri) mengabadikan kenangan bersama Winson Yick Ken Chung (tiga kiri);Puan Lim Boon Whinny (berdiri kiri) serta sebahagian tetamu sempena majlis itu di Semporna.


Nasir menambah,perpaduan kaum yang merentasi adatbudaya merupakan teras ke arah merealisasikan hasrat kerajaan dalam misi konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Datuk Nasir berkata demikian sempena melakukan kunjungan Tahun Baru Cina di Kawasan DUN Senallang dan DUN Bugaya,Semporna.

Katanya,setiap rakyat berbilang kaum hendaklah meneruskan amalan kunjung berkunjung di setiap perayaan sebagai pemangkin kepada hubungan muhibbah serta mesra kaum.

Hadirsama sempena majlis sambutan itu isteri Datuk Nasir,Datin Hajah Rokiah Badar,Pemimpin Unit Kemajuan Rakyat Dun Senallang,Haji Tahir Amir,Ketua Daerah Semporna,OKK Haji Musa Sabaani Ahli Perniagaan Datuk Chua ching Wah dan isteri,Datin Lim Siew Moi serta kakitangan UPKR Senallang.

Antara rumah terbuka dikunjungi rombongan itu termasuklah rumah terbuka Kapitan Cina Kawasan Bandar,Kapitan Ong Hang Seng;Rumah Terbuka Kapitan Datuk Chao Yan San di Kawasan Bubul dan Rumah Terbuka ahli perniagaan Winson Yick Ken Chung di Bugaya.

Datuk nasir yang juga Adun Kawasan Senallang,menegaskan setiap rakyat seharusnya bersyukur dengan nikmat keamanan yang dikecapi dalam setiap kehidupan serta sambutan perayaan.

Katanya,keamanan yang dikecapi itu adalah sumbangan setiap rakyat yang sentiasa prihatin mengukuhkan perpaduan selain kerjakeras anggota keselamatan yang sentiasa bersabung nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

Sehubungan itu,rakyat juga dinasihatkan sentiasa bekerjasama memupuk perpaduan yang sedia terjalin dan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin peringkat kampung,daerah dan negeri membenteras gejala negatif yang boleh menggugat ketenteraman negara.Oleh:ARSHAD HUSSIN.

Monday, February 15, 2010

Perpaduan Kaum Landasan Utama Hidup Harmoni-Datuk Nasir:


SEMANGAT TAHUN HARIMAU...Datuk Nasir dan Datin Rukiah bersalaman dengan Datuk Seri Mohd. Gan Sau Wah dan Datin Seri sambil diperhatikan ahli-ahli perniagaan Tionghua Semporna (SCCC) sempena majlis sambutan Tahun Baru Cina di Semporna.


SEMPORNA: Perbezaan suku bangsa dan anutan agama bukan penghalang bagi rakyat negara ini sama-sama meraikan sambutan perayaan Tahun Baru Cina malah ianya menjadi landasan mengukuhkan perpaduan sesama kaum yang sedia erat terjalin sekian lama.

Menteri DiJabatan Ketua Menteri,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,menjelaskan semangat muhibbah antara kaum yang telah lama diamalkan rakyat negeri Sabah selama ini telah mampu mengwujudkan semangat perpaduan yang tulin dan menjadi landasan utama kehidupan harmoni yang menjadi teras kepada konsep 1Malaysia.
Katanya,rakyat Sabah yang terdiri daripada 32 suku kaum telah lama menjalani kehidupan yang berteraskan semangat berkasih sayang sesama kaum serta ianya harus dipertahankan demi untuk kesinambungan bangsa Malaysia yang maju dan bersatu padu.



MESRA TAHUN BARU...Datuk Nasir (tengah) beramahmesra dengan DSP Gan Sau Wah (dua kanan) sambil diperhatikan ahli-ahli perniagaan Semporna(SCCC)sempena majlis sambtan Tahun Baru Cina di Semporna.



Datuk Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senallang berkata demikian sempena menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Tionghua Semporna (SCCC),Datuk Seri Panglima Mohd. Gan Sau Wah di Semporna.



SEMANGAT HARIMAU...DSP Mohd Gan Sau Wah (tiga kanan) diperhatikan ahli-ahli SCCC semasa ditemubual oleh wakil media sempena majlis sambutan Tahun Baru Cina di Semporna.



Hadirsama sempena majlis itu isteri Datuk Nasir,Datin Hajah Rokiah Haji Badar; Pemimpin Unik Kemajuan Rakyat Kawasan Senallang,Haji Tahir Amir;Ketua Daerah Semporna Kawasan Senallang,OKK Haji Musa Sabaani serta ahli-ahli Persatuan Peniaga-Peniaga Tionghua Semporna.

Sementara itu Datuk Seri Mohd Gan menjelaskan,meskipun masyarakat Cina kaum minoriti di daerah itu namun mereka cukup bahagia serta hidup gembira dan harmoni bersama masyarakat Melayu yang sentiasa bersikap mesra kaum dan mesra budaya.

"Kami gembira hidup di sini dan cukup yakin dengan keamanan yang kami nikmati selama ini di sini," kata Mohd Gan sambil berharap semoga tahun harimau yang menjadi simbol keberanian dan kekuatan mampu membawa harapan baru kepada kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara ini.

Saturday, February 13, 2010

Anwar Kecewa Zahrain Keluar Dari PKR

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau kecewa dengan keputusan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim untuk keluar daripada parti itu.

Katanya tidak pernah dibangkitkan dalam parti atau dengan beliau isu pertelingkahan peribadi Zahrain dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Untuk menghukum Ketua Menteri dengan kata-kata kesat, kita tidak boleh terima. Jadi beliau ditegur atas alasan itu," katanya kepada pemberita selepas prosiding Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan beliau untuk membatalkan kes liwat melibatkan beliau di sini pada Jumaat.

Zahrain, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, mengumumkan keputusannya pada Jumaat dengan alasan beliau kecewa dengan kepimpinan Lim serta kesal dengan perjuangan PKR dalam pakatan pembangkang.
-- BERNAMA

Tindakan Zahrain Keluar PKR Akan Diikuti Anggota Pembangkang Lain-Zahid Hamidi



MELAKA, 12 Feb (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diikuti oleh anggota pembangkang lain.
    "Saya harap lebih ramai lagi Ahli Parlimen PKR atau DAP mengikuti jejak langkah Zahrain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Tiga Divisyen di Kem Terendak di sini pada Jumaat.
     Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan Zahrain itu sebagai satu tindakan kembali ke pangkal jalan kerana peranan Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang serta negeri-negeri lain sebagai hanya pandai beretorik politik.
     Zahrain berkata keputusannya keluar dari PKR hari ini kerana kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta kesal dengan perjuangan PKR dalam Pakatan Rakyat.
    Ahmad Zahid berharap menjelang Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 15 Mac depan akan lebih ramai ahli pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN).
    "Kita di Barisan Nasional fokus untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding harga tinggi yang perlu dibayar oleh pengundi yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.
    Katanya berdasarkan kenyataan media oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP, beliau menjangkakan empat lagi pemimpin pembangkang yang akan keluar parti menyertai langkah Zahrain.
    Di PUTRAJAYA, seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bukan Zahrain sahaja yang telah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa isu dalam pakatan pembangkang tetapi ramai lagi telah menyatakan perkara yang sama.
     "Saya percaya bahawa ada lagi yang akan keluar parti, dan saya juga yakin bahawa mereka akan tuduh ini kerja Umno dan Barisan Nasional tetapi orang ramai boleh menilai sendiri.
      "Sebelum ini kita lihat tuduhan yang diluahkan oleh mereka yang tidak berpuas hati, bukan perkara yang boleh kita tunjuk ajar. Ia diluahkan oleh mereka yang benar-benar telah kecewa," katanya.
    Hishammuddin berkata taktik dan strategi untuk menuduh Umno dan BN punca segala-gala yang tidak kena dengan parti mereka sebagai tidak ada asas.-- BERNAMA

Pemimpin PKR Patut Fikir Semula Sokongan Untuk Anwar-Rais Yatim

Daripada Mohd Nasir Yusoff

LONDON, 13 Feb (Bernama) -- Tumbangnya satu demi satu 'pagar' Parti Keadilan Rakyat (PKR) seharusnya membuatkan anggota parti itu memikirkan semula sokongan kepada ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
     Bahkan seluruh rakyat, katanya harus melihat tindakan pemimpin seperti Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar parti menunjukkan bahawa PKR sudah tiada berpotensi untuk memberi sumbangan kepada pakatan DAP-PKR-PAS.
    "Berita itu harus dianggap sebagai elemen penggoncang kepada situasi dan politik PKR khasnya dan pembangkang amnya," katanya kepada pemberita di Restoran Jom Makan, restoran masakan Malaysia yang terkemuka di pusat bandar raya ini.
    Mengulas lanjut pengumuman Zahrain keluar daripada PKR, Rais berkata bagaimana orang seperti Zahrain sanggup berhenti menjadi anggota parti dan mahu duduk di luar lingkungan PKR, harus dijawab oleh Anwar secara jelas dan tidak mengabui mata rakyat.
    "Hilangnya sokongan kepada Anwar itu bermakna PKR memang tidak mampu meneruskan gerakannya lantaran di dalam partinya sendiri pun tidak berupaya memberi keyakinan mengenai keutuhannya dan juga potensinya untuk menyumbang kepada pembangkang (parti pakatan)," kata Rais.
     Menurut Rais, banyak pemerhati politik berpendapat perkembangan itu merungsingkan bukan saja anggota PKR tetapi juga parti-parti pembangkang lain.
    "Satu penyebab penting ialah rakyat sudah dapat melihat bahawa gagasan 1Malaysia lebih menonjolkan keadilan sosial dan juga kemantapan demi kepentingan rakyat. Sedangkan PKR, PAS, DAP tak ada ramuan untuk diberitahu apa yang mereka nak buat," katanya.
    Menganggap perkembangan dalam PKR itu sebagai satu bonus kepada kepimpinan Barisan Nasional, terutamanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keikhlasannya menerusi gagasan 1Malaysia dan perubahan dalam ekonomi serta menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat, katanya.
     "Seruan kita sekarang ialah supaya semua 'ketua darjah' dan 'penghulu' dalam PKR harus berfikir dua kali untuk terus menyokong Anwar yang kononnya akan mengambil alih tampuk pimpinan dan kerajaan. Saya berani menyatakan ini adalah igauan dan tak akan menjadi realiti," katanya.
     Menjawab soalan, Rais berkata adalah jelas tindakan Zahrain keluar daripada PKR berkait langsung dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana ia berlaku di negeri itu.
    "Guan Eng telah gagal merapatkan jurang perbezaan sehingga seorang demi seorang pimpinan daripada PKR meninggalkan beliau termasuk sebelum ini bekas timbalan ketua menterinya," katanya.-- BERNAMA

Bukan angkara pengganas-Zahid Hamidi

Oleh Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my

2010/02/12 KUALA LUMPUR: Kes dua pekerja syarikat rumpai laut dilarikan di Pulau Sebangkat, Semporna, Sabah, Isnin lalu disahkan masalah individu membabitkan pekerja dengan majikan serta tiada kaitan dengan jenayah terancang atau ancaman pengganas.
   Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berdasarkan maklumat dan siasatan, kes ini membabitkan bisnes apabila majikan tidak membayar gaji sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku.
  “Masalah ini berlaku kerana bisnes antara majikan dan pekerja...dalam erti kata lain, majikan tidak bayar gaji dan tiada kaitan dengan ancaman pengganas atau jenayah terancang.
   “Malah, dalam operasi dikenali Ops Pasir yang dijalankan sejak sekian lama, kita bukan sekadar menambah anggota, aset dan peralatan dan dalam operasi terbaru malah kita menambah jangkauan hingga ke enam pulau lain di kawasan itu serta mendapat kerjasama daripada agensi penguat kuasaan lain.
   “Mengenai sempadan maritim pula, kita bermesyuarat dengan negara jiran dan ada jawatankuasa teknikal untuk menyelesaikan masalah di sempadan dan setakat ini, kita mencapai persefahaman di kalangan negara jiran,” katanya di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan di sini, semalam.
   Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Pengerusi MLKN, Datuk Dr Tiki Lafe; , Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechik serta Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.



Insiden Di Semporna Bukan Angkara Abu Sayyaf : Hishammuddin



PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan laporan sebuah stesen radio di Filipina bahawa kehilangan dua rakyat tempatan dalam satu rompakan di Semporna, Sabah, pada Isnin lepas adalah angkara kumpulan pejuang pemisah Abu Sayyaf.
     Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata, laporan dan bukti awal yang diterima setakat ini menunjukkan bahawa kejadian itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.
    "Ia tidak ada kaitan dengan aktiviti kumpulan pengganas. Kita masih menyiasat perkara ini, dan saya secara peribadi mengikuti perkembangan kes ini dengan mendalam. Bukti dan laporan yang diterima juga menunjukkan bahawa ia bukan dilakukan oleh pengganas," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong).
    Dalam kejadian pada 8 Februari itu, dua rakyat tempatan berusia 25 dan 40 tahun dilaporkan hilang selepas pelantar di pusat pembiakan rumpai laut di Pulau Sebangkat dekat Semporna, Sabah dirompak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal.
    Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada kegagalan membayar gaji pekerja pusat pembiakan rumpai laut itu.
    Mengenai mesyuarat hari ini pula, Hishammuddin berkata satu jawatankuasa kerja akan dibentuk oleh Hua Zong bagi memudahkan Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan sebarang masalah melibatkan kaum Cina di Malaysia termasuk daripada aspek jenayah, perkauman dan keagamaan.
    Katanya, langkah ini dapat membantu kementerian menjayakan pelbagai agenda yang berkait rapat dengan konteks 1Malaysia, sekaligus mencapai serta memenuhi prinsip yang terkandung di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
     "Dalam mesyuarat hari ini saya telah memberi penjelasan dan penerangan mengenai pelbagai isu, termasuk yang menyentuh mengenai permohonan kenegaraan, kebebasan media dan isu-isu yang berkaitan," katanya.
    Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan berperanan sebagai medan penyelesai masalah kaum Cina dan juga sebagai wakil yang akan merujuk kepada kementerian sekiranya berdepan dengan masalah yang melibatkan soal dasar.
   "(Anggota) jawatankuasa ini mereka sendiri yang akan tentukan dan ia lebih ke arah membantu menyelesaikan masalah di kalangan yang kaum Cina, dan jika ada perkara yang melibatkan dasar, mereka akan rujuk kepada saya," katanya. - BERNAMA

Mangsa Kebakaran Kg.Air Semporna Dapat Rumah Baru-Datuk Nasir Sakaran


MESRA PEMIMPIN...Datuk Nasir(tengah)bersalaman dengan sebahagian ketua-ketua kampung kawasan DUN Senallang sempena majlis itu di Semporna.
SEMPORNA:Mangsa-mangsa kebakaran Kampung Air yang terlibat kebakaran pada pertengahan Disember tahun 2009 dijangka akan memiliki rumah baru mereka sebelum hari raya aidilfitri tahun ini.
        Menteri DiJabatan Kertua Menteri,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran menjelaskan, pembinaan perumahan itu dijangka akan dimulakan bulan Mac depan.
     Katanya,Kementerian Kemajuan Luarbandar & Wilayah Malaysia (KKL&WM) melalui Felcra Berhad sudah pun melantik pemaju perumahan berpengalaman bagi menyediakan rekabentuk rumah tersebut bagi memastikan matlamat Kampung Air sebagai Kampung Warisan mencapai sasarannya.
       Nasir menambah,berdasarkan rekabentuk itu, setiap rumah memiliki tiga bilik tidur;ruang tamu;dapur serta kemudahan tanadas moden.
        Selain itu katanya,pemaju juga akan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk jambatan, bekalan air dan elektrik selain memiliki sistem pembentungan najis yang sempurna.
        Nasir berkata demikian selepas majlis perjumpaan bersama ketua-ketua kampung dan ketua-ketua cawangan UMNO sempena program penambahan ahli UMNO & penyampaian hadiah di Dewan Perpustakaan Daerah Semporna.
         Sehubungan itu Nasir mengingatkan pemimpin masyarakat sekitar Kampung Air memastikan penduduk kampung memberikan kerjasama erat agar projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.
         Katanya pemimpin masyarakat menjadi pemerhati terhadap projek itu agar pemaju mengikut spesifikasi yang dipersetujui serta menggunakan bahan-bahan pembinaan yang berkualiti.
         Sementara itu Datuk Nasir yang juga Adun Kawasan Senallang, menjelaskan Jawatankuasa Pembangunan Peringkat Daerah kini sedang mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi menempatkan kampung pesisir pantai di sekitar Semporna untuk jangka masa hadapan yang lebih baik dan selesa.
         Katanya,ini berikutan pertambahan mendadak penduduk kampung yang mendiami kawasan pesisir pantai agar mereka tinggal selesa di kawasan perkampungan moden disamping menikmati kemudahan yang lebih baik dan sempurna.
Beliau memberi jaminan perancangan itu tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat dan akan memerlukan satu tempoh bersesuaian di masa hadapan kelak.

Friday, February 12, 2010

Elak Pembakaran Terbuka-DSP Lajim Ukin


GONG XI FA CH0Y…Lajim ketika menyampaikan kad ucapan tahun baru dan ang paw kepada salah seorang peniaga di majlis tersebut



Oleh:JAAFAR ABD WAHID
BEAUFORT : Penduduk khususnya berhampiran Daerah Beaufort diminta tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu di daerah itu bertambah buruk.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Haji Lajim Haji Ukin berkata, pembakaran terbuka bukan sahaja mengakibatkan pembebasan asap yang boleh menjejaskan kualiti udara malah merupakan suatu kesalahan dari segi undang-undang.


Katanya, arahan sudah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah untuk memantau keadaan jerebu dan pembakaran terbuka terutama melibatkan kawasan perladangan.

“ Saya dimaklumkan pihak Jawatankuasa Bencana Alam Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah pun mengeluarkan arahan ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung dan Pemimpin masyarakat Tempatan untuk memantau keadaan ini” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kad ucapan tahun baru cina dan ang pau kepada para peniaga di sekitar pekan Beaufort pagi kemarin dan meneruskkan di daerah Kuala Penyu dan Menumbok pada sebelah petang.

Turut serta, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Beaufort, Datuk Seri Panglima Kifli Chong dan Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Tin. Timbalan Ketua Umno bahagian beaufort Isnin Haji Aliasnih serta pemimpin masyarakat tempatan

Ketika diminta mengulas program tersebut Lajim yang juga Pengerusi Barisan nasional Beaufort berkata acara seumpama itu sudah menjadi tradisi setiap tahun sejak 25-tahun lalu beliau bergelar wakil rakyat di daerah itu.

“ Walaupun saya bukan berbangsa Tionghua, pemberian kad ucapan dan Ang Pau kepada masyarakat Cina jelas melambangkan semangat 1Malaysia yang telah lama wujud dalam kalangan rakyat Sabah” katanya

Sehubungan dengan itu Lajim berharap sambutan Tahun Baru Cina tahun ini akan menjadi wadah pemangkin terhadap usaha bagi memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kontek 1 Malaysia melalui perkongsian perayaan yang mengambarkan hubungan harmoni dan perpaduan rakyat walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan agama di Negara ini tetap kukuh.

Tanam Konsep Sukarela Dalam Gerakan Dakwah-DSP Lajim Ukin

KEMPEN KEAHLIAN…Lajim diiringi oleh Nasrun dan Abdullah ketika menyerahkan borang keahlian baru kepada Ketua (USIA) bahagian Tambunan Jumain Abd.Ghani sempana majlis tersebut


Oleh:JAAFAR ABD WAHID

KENINGAU: Pemimpin dan ahli Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu menarapkan konsep sukarela dalam mengerakkan program dakwah tanpa mengambil kira ganjaran yang boleh diperolehi melainkan memikirkan ganjaran yang boleh diperolehi di akhirat kelak.

Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, dakwah kepada Islam adalah antara kewajipan yang dituntut kepada ummah dalam usaha menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Kewajipan berdakwah adalah seruan kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Kewajipan berdakwah satu kewajipan yang besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya” katanya semasa berucap di majlis perjumpaan Muhibah dan Majlis Makan Malam bersama tiga bahagian Usia itu Keningau,Tambunan,Tenom dan Nabawan di Hotel Juta Keningau baru baru ini.

Hadir sama Naib Yang Dipertua (USIA) Datu Datuk Nasrun Datu Mansur,Setiausaha Agung (USIA) Datuk Haji Abdullah Hussin,Bendahari Wanita (USIA) Pusat Datin Seri Normilah Siong, dan Ketua (USIA) Bahagian Keningau Haji Kaipin Rosmin.

GERAKKAN…Lajim bersama Nasrun dan Abdullah semasa menyerahkan borang keahlian baru kepada Ketua (USIA) bahagian Keningau Haji Kaipin Rosmin di majlis tersebut


Sehubungan dengan itu Lajim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keahlian dan Penyelaras bahagian-bahagian USIA mahukan pemimpin pertubuhan tersebut di semua peringkat agar lebih komited melaksanakan tugas serta amanah yang diberikan oleh ahli-ahli (USIA) turun padang mendekati masyarakat Islam khususnya melaksanakan program-program dakwah bagi mengembangkan lagi syiar Islam.

“ Jawatan yang disandang tidak akan memberikan apa-apa kesan ,jika kita tidak dapat menzahirkan tindakan dalam konsep yang ikhlas dan sukarela melaksanakan amanah yang diberikan” katanya

Menurut beliau kesabaran serta keikhlasan Rasullah sebar risalah suci perlu dicontohi sepanjang zaman sehiinggalah syiar Islam dapat dikembangkan ke seluruh pelusuk dunia.

Dalam perkembangan lain Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mahukan setiap cawangan dan bahagian-bahagian (USIA) di negeri ini memokaskan usaha untuk menambah bilangan keahlian melalui kempen keahlian sepanjang masa.

“ Kempen penambahan ahli (USIA) ini perlu kita laksanakan sepanjang masa walaupun dalam sehari kita berjaya menarik seorang masyarakat Islam memohon menjadi ahli pertubuhan ini namun jika usaha ini beterusan ianya akan mencapai sasaran yang kita harap-harapkan” katanya

Katanya lebih ramai masyarakat Islam menyertai pertubuhan tersebut akan menjadi kekuatan kepada (USIA) untuk terus memperkasakan syiar Islam di negeri inI.






Pemimpin Masyarakat diminta beri kerjasama kepada polis-Datuk Nasir


TETAP PRIHATIN...Datuk Nasir (kiri) mendengar keluhan salah seorang warga emas yang turut menghadiri majlis itu di Semporna.


SEMPORANA: Menteri DiJabatan Ketua Menteri,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran meneggesa pemimpin-pemimpin masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya melihat kehadiran individu yang mencurigakan di kawasan perkampungan mereka.

Katanya,ini bagi membantu pihak berkusa menjalankan siasatan sekaligus menahan individu terbabtit berdasarkan kesalahan yg direkodkan terhadap mereka.

Selain itu,katanya pemimpin masyarakat juga perlu memaklumkan kpd semua penduduk kampung agar mereka tidak bekerjasama menyembunyikan individu yang dikhendaki oleh pihak berkuasa.

BORANG AHLI...Datuk Nasir (tengah) diperhatikan Tahir Amir (kiri) menerima borang penambahan keahlian UMNO daripada salah seorang Ketua Cawangan UMNO Dun Senallang sempena majlis itu.


Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap merasmikan majlis penyampaian hadiah serta programpenambahan ahli DUN Senallang.Datuk Nasir yang juga wakil rakyat Senallang mengulas mengenai kejadian rompakan di pulau Sebangkat mengakibatkan seorang pengurus dan seorang penyelia di ladang pemeliharaan rumpai laut tersebut dibawa sekumpulan lima lelaki dengan dua daripadanya bersenjarakan rifel merompak ladang berkenaan.

Polis menilai kejadian itu sebagai rompakan memandangkan wang gaji untuk 34 pekerja di situ sepatutnya dibayar Isnin lalu.

Datuk Nasir yang juga Adun Kawasan Senallang,menjelaskan beliau difahamkan semua suspek dan mangsa yg diculik masih berada di perairan Semporna berikutan tidak mampu melepasi kawalan keselamatan daripada agensi penguatkuasaan negeri.

Nasir menegaskan,pemimpin masyarakat perlu memberi meklumat kepada penduduk kampung agar bersama-sama membantu pihak berkuasa menyelesaikan masalah berkenaan.


MESRA PEMIMPIN..Datuk Nasir (tengah) bersalaman dengan Panglima Kundul (kiri) dan sebahagian ketua-ketua kampung dan ketua-ketua Cawangan UMNO Dun Senallang sempena majlis itu disemporna.


Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Nasir berkata,aktiviti kehadiran pelancongan ke semporna tidak terjejas malah meningkat terutama menjelang cuti perayaan tahun baharu Cina hujung minggu ini.
Katanaya, hampir semua tempahan bilik hotel penuh berikutan kehadiran pelancong dimusim cuti perayaan sementara aktiviti seharian masyarakat disekitar pekan itu tidak terjejas akibat kejadian dan berjalan seperti biasa.

Lawat Perairan Semporna Baru Buat Komen-Datuk Nasir


PEKAN SEMPORNA...Pemandangan pekan Semporna dari udara.


SEMPORNA:Pihak pembangkang perlu datang sendiri serta melawat kawasan perairan Semporna sebelum membuat sebarang komen terhadap aspek keselamatan di kawasan itu.

Menteri DiJabatan Ketua Menteri,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran berkata,kawasan perairan Semporna dijaga rapi pihak keselamatan membabitkan pihak polis marin;Agensi Penguatkuasaan Matitim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pemandangan kawasan penanaman rumpai laut pulau Sebangkat,Semporna.

Katanya,pihak pembangkang jangan membuat andaian berdasarkan hanya mendengar khabar angin daripada pihak tertentu sahaja yang kononnya agensi penguatkuasaan gagal melaksanakan tanggungjawab.

Beliau mengulas kenyataan akhbar DAP Kota Kinabalu mengenai kejadian rompakan di pulau Sebangkat mengakibatkan seorang pengurus dan seorang penyelia di ladang tersebut hilang selepas dibawa sekumpulan lima lelaki yang bersenjatajan rifel merompak ladang berkenaan.

Katanya,pasukan keselamatan juga memupunyai pos kawalan di beberapa kawasan perkampungan sepanjang perairan Semporna menunjukkan kawasan ini selamat dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Pihak penguatkuasaan menjalankan rondaan hampir setiap hari bagi memastikan kawasan perairan bebas daripada ancaman anasir tidak diingini.

Belaiu menegaskan sejak 2001 tidak ada kejadian rompakan dilaporkan di kawasan Semporna berikutan pengawasan secara berterusan pihak keselamatan.

Datuk Nasir menasihatkan pihak pembangkang tidak mensensasikan isu itu sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak keselamatan menanganinya.

Tuesday, February 9, 2010

Halal Bukan Isu Remeh-Melati Mohd Ariff





Rencana ini mengupas beberapa aspek berhubung isu halal termasuk pengertian halal, sijil halal dan kewajaran pengguna Islam khususnya di negara ini menangani isu halal.



Ini ialah bahagian satu daripada lima bahagian.



Oleh Melati Mohd Ariff
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Sesekali masyarakat Islam di negara ini digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya, dan mereka akan menjadi begitu cemas serta menjadi berhati-hati dalam membuat pembelian makanan atau produk berkaitan.

Tidak kurang juga yang menjadi jaguh debat, pantas menuding jari kepada pelbagai pihak yang dipertanggungjawabkan dengan penguatkuasaan halal.

Pihak ini bagaimanapun gagal menuding jari kepada diri sendiri, gagal melihat kepada kelemahan dalam membuat penilaian dan pemilihan sebelum membuat transaksi pembelian.

Daripada roti kepada sosej, ubat gigi dan pinggan mangkuk, itu ialah antara produk yang dikaitkan dengan isu halal beberapa ketika dulu.

Terdapat juga laporan mengenai beberapa produk kesihatan yang diuji dan didapati tidak halal kerana mengunakan kapsul gelatin daripada babi.

Cuma apabila 'ribut' berakhir, sesetengah pengguna Islam kembali ke takuk lama. Soal keliru atau terpedaya tidak lagi menjadi polemik menghiasai ruangan berita atau surat pembaca. Keprihatinan mereka tentang halal tidak ubah seperti 'ribut di dalam cangkir'!

TIDAK PERSOAL

Mereka tidak lagi memberatkan status halal haram dan kembali makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal.

Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!

"Masa belajar di luar negara, saya memang teliti kalau nak membeli barang makanan. Balik ke Malaysia, saya beli apa sahaja, lagi pun produk buatan Malaysia tak mungkin tak halal," Nor, seorang pekerja swasta memberitahu penulis apabila ditanya pandangannya tentang isu halal.

"Ada tulis halal, mesti halalkan?" soal seorang makcik peniaga yang rata-rata barang yang dijualnya makanan ringan dan pembelinya kebanyakan kanak-kanak sekolah.

Satu daripada produk yang begitu laris dijual ialah serbuk pelbagai warna perasa yoghurt yang diisi di dalam sampul plastik panjang. Produk dari Filipina ini mempunyai perkataan 'halal'.

Sikap Nor dan peniaga ini mungkin juga dikongsi sebahagian besar masyarakat pengguna Muslim di negara ini. Antara tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, ramai yang akhirnya dikhuatiri terpedaya dan tertipu!

PANDANG REMEH

Menurut Saimah Mukhtar, Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), meskipun perkataan halal itu sendiri tidak wajar dipandang remeh tetapi keadaan itulah yang banyak berlaku sekarang.

"Di premis makanan bukan Islam, letak sahaja perkataan halal atau lihat juruwang atau pelayan bertudung, ramai orang Islam yang masuk makan.

"Begitu juga jika penjual itu pakai kopiah putih, terus buat andaian orang Muslim dan beli apa yang dijualnya.

"Inilah sikap sesetengah orang Islam kita yang pandang ringan soal halal," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian kepada sesetengah pengguna Islam yang sanggup berkunjung ke sesebuah premis makanan bukan Islam hanya kerana ia mempamerkan perkataan "bebas babi" atau "bebas alkohol".

"Ini amat mengelirukan. Tak ada babi atau tak ada alkohol tak bermakna halal," tegas Saimah.

Beliau menegaskan sesetengah pengguna Islam juga tidak memberatkan aspek 'thoyiban' yang boleh dikaitkan dengan semua aspek positif seperti berzat, bersih, berkualiti, selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia.

Dalam sesetengah kes, ada juga orang Islam yang sanggup berkunjung ke premis makanan bukan Islam meskipun tiada jaminan halal hanya kerana makanan yang dijual sedap.

Amri Abdullah, Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal Jakim memberitahu Bernama, beliau pernah mengajukan soalan kepada pelanggan Islam ketika membuat operasi di sebuah premis makanan.

Pelanggan berkenaan, katanya dengan wajah yang selamba menjawab "makanan sedap ustaz" meskipun beliau maklum pengusaha restoran tersebut bukan orang Islam.

DALIL HALAL

Di samping gaya hidup yang sihat, makanan sering dikaitkan sebagai faktor penting yang menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan minda serta tubuh badan seseorang individu.

Bagi masyarakat Islam, pemilihan makanan sewajarnya bukan sahaja mengutamakan kandungan khasiat atau zat.

Ini kerana Islam mempunyai piawaian atau standard tersendiri iaitu 'halalan thoyiban' (halal, baik dan selamat) dalam soal makanan dan pemakanan.

Perkara ini banyak ditekankan melalui firman-firman Allah SWT serta hadis Rasulullah SAW.

Antara firman Allah SWT ialah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang bermaksud "Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Di dalam surah al-Nahl ayat 114-115 pula Allah berfirman, antaranya bermaksud "Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal dan bersyukurlah akan nikmat Allah jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah. Maka sesiapa yang di dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja di dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang."

PENGARUH HALAL KEPADA PERIBADI

Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.

Seperti yang disabdakan Rasulullah (Hadis riwayat at-Tarmizi) yang bermaksud "Setiap daging yang tumbuh daripada benda atau makanan yang haram maka nerakalah yang lebih utama baginya."

Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.

Justeru, mulia atau buruknya peribadi serta pekerti seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya.

Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka sebagaimana sabda Rasululullah di atas.

Rasululullah juga bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya perkara yang halal itu terang dan jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga terang dan jelas dan antara ke-duanya ada perkara-perkara syubhat (sesuatu yang hukumnya tidak diketahui dengan jelas hukum halal haramnya).

"Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesunggunya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya."

MAKSUD HALAL

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh Hukum Syarak.

Jakim menggariskan 'Hukum Syarak' bermakna undang-undang Islam dalam Mazhab Syafie atau dalam mana-mana Mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Undang-undang itu juga telah dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana Negeri dikuatkuasakan di dalam Negeri berkenaan.

Konsep Halalan Thoyiban juga bukan hanya terbatas kepada bersih dan suci daripada babi atau najis tetapi juga mengambil kira aspek yang lebih meluas untuk apa sahaja yang hendak dimakan, diminum atau digunakan.

Antaranya halal dalam cara memperolehnya yang tidak melalui cara haram seperti mencuri, merompak atau rasuah dan piawaian ketat Islam ini juga mencakupi cara pemprosesan serta penyimpanan. Bermula dari ladang sampai ke meja.


TAKRIF DI BAWAH AKTA PERIHAL DAGANGAN

Di samping itu, takrif 'Halal' juga diperjelas di dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan "Halal") 1975, takrif 'Halal' bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh Hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.

Ia juga bermaksud tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut Hukum Syarak.

Ia juga tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengkut Hukum Syarak.

IMPAK PERBAHASAAN

Perintah tersebut juga menggariskan peraturan membabitkan penyediaan pemprosesan serta penyimpanan yang tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak di atas atau apa-apa benda yang dihukum najis mengikut Hukum Syarak.

Takrif 'Halal' di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan) mempunyai implikasi yang mungkin tidak disedari pengguna lebih-lebih lagi pengilang.

Menurut Saimah, ia mempunyai kesan yang cukup besar meskipun tidak ada akta setakat ini yang mewajibkan produk atau industri menggunakan perkataan halal sama ada dalam bentuk logo atau perkataan.

Beliau memberi contoh 'perbahasaan' termasuk perkataan halal (Rumi atau Jawi), ayat Quran, perkataan Allah, Muhammad atau Bismillah, gambar Kaabah, perempuan bertudung, lelaki bersongkok yang boleh ditafsirkan sebagai halal.

"Apabila pihak industri atau premis atau apa mana-mana pihak menggunakan perbahasaan itu, terbukti tidak halal, atau sebaliknya, tindakan boleh di ambil di mana denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

"Peranan Jakim ialah sebagai badan pensijilan yang memberi pengesahan halal melalui sijil logo, sementara tindakan boleh diambil sama ada oleh KPDNKK atau Kementerian Dalam Negeri," jelas Saimah.-- BERNAMA