Saturday, February 13, 2010

Tindakan Zahrain Keluar PKR Akan Diikuti Anggota Pembangkang Lain-Zahid Hamidi



MELAKA, 12 Feb (Bernama) -- Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan diikuti oleh anggota pembangkang lain.
    "Saya harap lebih ramai lagi Ahli Parlimen PKR atau DAP mengikuti jejak langkah Zahrain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Tiga Divisyen di Kem Terendak di sini pada Jumaat.
     Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan Zahrain itu sebagai satu tindakan kembali ke pangkal jalan kerana peranan Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang serta negeri-negeri lain sebagai hanya pandai beretorik politik.
     Zahrain berkata keputusannya keluar dari PKR hari ini kerana kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta kesal dengan perjuangan PKR dalam Pakatan Rakyat.
    Ahmad Zahid berharap menjelang Persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 15 Mac depan akan lebih ramai ahli pembangkang menyertai Barisan Nasional (BN).
    "Kita di Barisan Nasional fokus untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat berbanding harga tinggi yang perlu dibayar oleh pengundi yang memilih kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.
    Katanya berdasarkan kenyataan media oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP, beliau menjangkakan empat lagi pemimpin pembangkang yang akan keluar parti menyertai langkah Zahrain.
    Di PUTRAJAYA, seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bukan Zahrain sahaja yang telah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa isu dalam pakatan pembangkang tetapi ramai lagi telah menyatakan perkara yang sama.
     "Saya percaya bahawa ada lagi yang akan keluar parti, dan saya juga yakin bahawa mereka akan tuduh ini kerja Umno dan Barisan Nasional tetapi orang ramai boleh menilai sendiri.
      "Sebelum ini kita lihat tuduhan yang diluahkan oleh mereka yang tidak berpuas hati, bukan perkara yang boleh kita tunjuk ajar. Ia diluahkan oleh mereka yang benar-benar telah kecewa," katanya.
    Hishammuddin berkata taktik dan strategi untuk menuduh Umno dan BN punca segala-gala yang tidak kena dengan parti mereka sebagai tidak ada asas.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment