Friday, April 16, 2010

Kehebatan Ceramah Parti Politik Bakal Bermula Di Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 16 April (Bernama) -- Walaupun parti-parti politik telahpun turun padang sejak dua minggu lepas, kempen untuk memenangi hati pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor dijangka bertambah rancak selepas penamaan calon pada Sabtu.

Barisan Nasional dan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah mengatur berpuluh-puluh ceramah dan majlis perjumpaan dengan kira-kira 65,000 pengundi di sini.

Faktor cuaca hujan mahupun panas yang berselang seli di sini sejak beberapa hari lepas bukan menjadi penghalang dalam usaha menyampaikan mesej kepada rakyat seterusnya memenangi sokongan pengundi bagi pilihan raya kecil kawasan itu.

Jurucakap bahagian penerangan pusat operasi BN di Bukit Sentosa berkata BN dijadualkan mengadakan 27 ceramah perdana dan 15 forum Islam dalam membicarakan tentang isu-isu semasa dan hal ehwal Islam pada sebelah malam.

"Ceramah perdana berkenaan dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon BN, Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan dan para pemimpin komponen BN lain," katanya.

PKR bersama DAP dan PAS difahamkan akan mengadakan dua sesi ceramah perdana di setiap dewan undangan negeri setiap malam.

Selain ceramah politik, majlis makan malam, sukaneka dan kebudayaan menjadi pilihan popular parti-parti politik dalam usaha menarik sokongan sepanjang kempen sehinggalah hari pengundian pada 25 April.

Dalam pada itu, larangan kepada ahli-ahli politik tidak menggunakan masjid dan surau untuk menarik sokongan nampaknya tidak dipatuhi berdasarkan jadual kempen yang dikeluarkan.

Beberapa pemimpin utama PKR dan PAS dijadualkan mengunjungi surau dan masjid sepanjang tempoh kempen sebelum memulakan ceramah dan perjumpaan bersama rakyat di kawasan lain.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar mendesak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menguatkuasakan titah Sultan Selangor supaya surau dan masjid tidak digunakan bagi kepentingan politik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda pada Oktober tahun lepas mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di Selangor agar memastikan masjid tidak digunakan pihak tertentu sebagai gelanggang politik yang boleh menyakiti dan memecahbelahkan perpaduan ummah.

Baginda bertitah bahawa pihak menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah dan arahan Sultan selaku Ketua Agama Islam, MAIS dan mufti adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment