Thursday, April 15, 2010

BN Akan Berjuang Habis-habisan, Tebus Kekalahan Di Hulu Selangor-TS Muhyiddin

HULU SELANGOR, 15 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) bertekad untuk berjuang habis-habisan pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini bagi menebus kekalahan BN di kawasan itu pada pilihan raya umum 2008.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden BN mengingatkan semua pemimpin parti agar berkampung di Hulu Selangor dan memberi sepenuh tumpuan bagi memastikan kemenangan BN di kawasan ini.

"Petang semalam dan hari ini saya dapat panggilan daripada beliau (Najib) yang berada di Amerika Syarikat dan beliau telah menyampaikan salam kepada anda semua.

"Beliau juga menyampaikan pesanan kepada saya bahawa pilihan raya kecil ini satu pilihan raya yang amat penting bagi BN," katanya ketika mengumumkan calon BN bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di Pusat Command BN di Bukit Sentosa di sini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata beliau berharap pemilihan Ketua Penerangan MIC P.Kamalanathan sebagai calon BN membawa kemenangan yang lebih banyak kepada BN.

"Ini tekad dan azam kita, pastikan BN menang dengan undi yang banyak. Ini juga cabaran kita untuk memastikan wakil BN jadi anggota Parlimen di Hulu Selangor ini," katanya.

Beliau berkata apabila BN kalah di kawasan itu pada pilihan raya umum lepas, parti kini sekali lagi berdepan dengan cabaran dan ujian baru yang perlu dihadapi bersama demi rakyat di Hulu Selangor.

"Majlis pada hari ini adalah untuk meningkatkan semangat, bahkan untuk menghadapi cabaran mendatang (bagi memastikan) setiap pengundi yang ada di sini sama ada Cina, India dan lain-lain akan keluar bersama-sama menyatakan sokongan kepada calon kita," katanya.

Beliau berkata dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih serta pembangunan yang memberangsangkan di bawah kepimpinan Najib, rakyat kini juga mempunyai semangat baru dan keyakinan diri terhadap BN.

"Kalau ada pihak nyatakan siapa yang berusaha untuk kembalikan kekuatan ekonomi, tiada pihak boleh nafikan hakikat bahawa ia dilaksanakan oleh kerajaan BN.

"Ekonomi baik bukan sebab pakatan pembangkang, bukan sebab (Datuk) Zaid Ibrahim (calon PKR), kita akan pastikan kestabilan politik dan ekonomi terus kekal tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak pun," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudiannya, Muhyiddin berkata Zaid bukanlah calon "heavyweight" seperti yang disifatkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya merupakan calon "lightweight".

"Soal heavyweight atau tidak bukanlah penting, saya tidak anggap dia sebagai heavyweight, very lightweight... paling ringan. Kalau kita lihat rekod Zaid bukanlah baik sangat," katanya.

Muhyiddin berkata biarlah pengundi sendiri yang menilai Zaid yang bukan anak tempatan seperti yang dimahukan penduduk akar umbi.

Selasa lepas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai calon bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan berkenaan.-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment