KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan isu pengundi hantu yang sering dimainkan pada setiap pilihan raya kecil adalah taktik kotor pembangkang dalam meraih undi.
Beliau berkata selain untuk meraih undi, dakwaan itu juga bertujuan bagi memburukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mata pengundi yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada calon Barisan Nasional (BN).
"Ini adalah satu daripada langkah pembangkang sebelum penamaan calon dengan memburukkan perkara-perkara yang sebenarnya kita lihat tidak berlaku.
"Saya harap rakyat jangan mendengar (dakyah pembangkang)...ini (isu pengundi hantu) adalah taktik kotor pembangkang dari dulu. Pembangkang ini hanya tau memburuk-burukan SPR dan UMNO sahaja. Kalau dia (pembangkang) menang tak bangkitlah lagi isu pengundi hantu," katanya kepada Bernama di bangunan Parlimen, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang dalam sidang akhbarnya pada Khamis yang mempersoalkan kredibiliti SPR dalam proses pembersihan daftar pemilih.
Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata BN akan meletakkan calon yang terbaik pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor.
"Pembangkang jangan terlalu angkuh dengan mengatakan dengan hanya letak kasut (sebagai calon) pun menang. Jangan perlekehkan pengundi Hulu Selangor seolah mereka membuta tuli dengan menyokong sesiapa pun. Mereka nakkan pimpinan yang boleh membela nasib mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata faktor calon memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor.
"Saya yakin kita ada peluang yang cerah untuk berjaya di Hulu Selangor tetapi kecerahan itu bergantung pada calon. Kalau letak calon yang muda saya rasa peluang itu cerah dan gemilang.
"Kalau bukan muda peluang itu masih lagi ada, tetapi dia malap sikitlah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini.
Selain itu, Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata berdasarkan pandangan dan maklumbalas yang diterima daripada penduduk setempat menunjukkan bahawa mereka mahukan calon yang lebih muda untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat barah otak.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon adalah pada Sabtu ini, manakala pengundian pada 25 April.
Lim mendakwa memperoleh statistik daripada SPR bagi tempoh sehingga 25 Feb tahun ini yang menunjukkan ada keraguan antara jumlah daftar penduduk daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan daftar pemilih SPR.
"Yang dapat kita kesan ialah contohnya Terengganu, mengikut rekod JPN, kaum India yang direkodkan di negeri itu adalah 1,441 orang manakala rekod SPR pula seramai 1,600 orang.
"Ada lebihan sebanyak 159 orang. Inilah yang dinamakan pengundi hantu. Kita tak tahu mereka datang dari mana dan SPR mesti membuat tindakan terhadap perkara ini. Ini perkara serius dan jangan main-main. Ini akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap SPR yang dikatakan sebagai sebuah badan bebas," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment