Thursday, April 15, 2010

Tindakan Adun Bakar Arang Keluar PKR Tepat Pada Masanya - Muhyiddin

HULU SELANGOR, 15 April (Bernama) -- Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah kawasan Bakar Arang, Tan Wei Shu, yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Khamis dan menjadi wakil bebas adalah tepat pada masanya, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata ini merupakan satu isyarat kepada pengundi bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor khususnya bahawa lebih ramai anggota parti itu semakin tidak mempercayai perjuangan PKR.

"Timing pun memang tepat, supaya ia akan berikan satu isyarat kepada pengundi di sini bahawa di banyak kawasan di peringkat Parlimen, kita sudah tahu siapa yang sudah keluar daripada PKR.

"PKR sudah sampai ke peringkat yang tidak mungkin diyakini, dipercayai bukan sahaja oleh orang biasa tetapi anggota-anggota dan pemimpin-pemimpin mereka," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di Pusat Command BN di Bukit Sentosa di sini.

Muhyiddin berkata tindakan semakin ramai anggota parti itu keluar parti membuktikan mereka berpendapat bahawa perjuangan PKR adalah sia-sia dan terpedaya dengan kata-kata hebat pemimpin parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pastinya ialah kerana waktu awal jadi anggota PKR dulu, dia begitu yakin dengan keupayaan Anwar... terpengaruh dengan kata-kata Anwar yang hebat-hebat tetapi dalam tempoh dua tahun sudah dapat menilai siapa Anwar, siapa PKR, apa yang sudah dan boleh mereka lakukan.

"Mereka berasa kecewa perjuangan awal yang disebut dalam PKR kini tidak bermakna apa-apa," katanya.

Tan, 54, berkata keputusannya keluar daripada PKR disebabkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa dipermainkan oleh pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai "kacang lupakan kulit".

Ekoran tindakan Tan hari ini, Dewan Undangan Negeri Kedah kini terdiri daripada 16 wakil PAS, 14 wakil BN, tiga PKR, satu DAP dan dua Bebas.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment