Thursday, April 15, 2010

Hapus Halangan Bagi Wanita Dalam Pasaran Kerja - UNDP

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Penggubal dasar Malaysia perlu mengubbal dan melaksanakan strategi yang menghapuskan halangan kepada pekerjaan wanita bagi membolehkan mereka memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negara.

Wakil Residen Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Kamal Malhotra, berkata langkah itu penting jika negara berhasrat menjadikan negara ekonomi bernilai tambah tinggi.

Bagaimanapun, beliau memuji kenyataan positif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peranan penting wanita dalam transformasi ekonomi negara menerusi Model Ekonomi Baru.

"Kekurangan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja mengakibatkan rantau Asia Pasifik kehilangan berbilion ringgit setiap tahun khususnya negara seperti Malaysia, India dan Indonesia di mana anggaran Keluaran Kasar Dalam Negara (GDP) akan meningkat 70 peratus.

"Angka itu hampir dengan kadar GDP bagi banyak negara maju," katanya.

Malhotra berkata ianya antara kunci penemuan dalam laporan yang dilancarkan di Malaysia hari ini berjudul "Kuasa, Suara dan Hak: Titik Peralihan bagi Kesamarataan Gender di Asia dan Pasifik", tajaan UNDP.

Beliau juga berkata hasil laporan itu menunjukkan peningkatan wanita dalam pasaran kerja di negara-negara maju sejak 10 tahun lalu dengan lebih banyak sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi seperti di China.

Sementara itu, aktivis sosial Datin Paduka Marina Tun Dr Mahathir, ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran laporan UNDP itu, berkata langkah jangka pendek dengan hasil pantas adalah perlu jika Malaysia ingin mencapai matlamat mengadakan lebih ramai wanita dalam kedudukan pembuat keputusan.

"Persetujuan kami dalam Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) menggesa kita untuk memperuntukan 30 peratus penglibatan wanita dalam semua kedudukan pemilihan dalam parti politik serta dalam pilihan raya negeri dan pusat," katanya.

Menurut laporan itu, penyertaan wanita dalam pasaran kerja di Malaysia masih bertakung di bawah 50 peratus berbanding 85.3 peratus bagi golongan lelaki pada 1995 sebelum menurun kepada 79 peratus pada 2008.

Laporan itu mendapati jurang pendapatan antara lelaki dan wanita adalah setinggi RM1,774 sebulan untuk pegawai kanan dan pengurus yang menjalankan tanggungjawab sama.

Walaupun undang-undang menjamin tahap gaji yang sama untuk kerja yang sama, namum di rantau Asia Pasifik perbezaan gaji wanita berbanding lelaki adalah antara 54 peratus hingga 90 peratus.

Laporan itu mencadangkan beberapa penyelesaian termasuk menghapuskan halangan bagi wanita memiliki aset seperti tanah, memperluaskan pekerjaan berbayar dan melabur dalam pendidikan berkualiti tinggi dan kesihatan.-- BERNAMA





No comments:

Post a Comment