Wednesday, March 3, 2010

Jangan Tuding Jari Kepada UMNO - Rosnah

PAPAR, 2 Mac (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak sepatutnya menuding jari kepada UMNO setiap kali ada wakil rakyat dan pemimpin daripada parti itu keluar dan menyokong perjuangan atau mesra Barisan Nasional (BN), kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sebaliknya, PKR seharusnya menyalahkan parti itu sendiri yang sudah lari daripada perjuangan asal mereka dan kini lebih banyak menumpukan permainan politik, katanya.

"Setiap kali ada masalah dalam PKR, pihak UMNO lah yang dipersalahkan. Kalau PKR boleh mempertikaikan kepimpinan Umno, UMNO juga berhak mempersoalkan kepimpinan PKR.

"Sebenarnya mereka (anggota PKR) bertindak keluar parti kerana mereka sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan dan perjuangan PKR," katanya kepada pemberita selepas merasmikan ruang rehat asrama puteri Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu di sini, Selasa.

Rosnah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pimpinan PKR yang mendakwa pemimpin UMNO merupakan punca beberapa anggota PKR termasuk Anggota Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan bekas Timbalan Ketua Menteri Mohammad Fairus Khairuddin keluar daripada PKR.

Mengenai program Pergerakan Puteri BN, beliau berkata perhimpunan Puteri BN akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 April dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikannya.

Mengenai perkembangan terbaru cadangan untuk membina Hospital Kinarut, dekat sini, Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berharap proses pemerolehan tanah untuk tujuan itu dapat disegerakan supaya projek berkenaan dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

"Jumlah penduduk di kawasan Papar semakin meningkat dan pembangunan juga bertambah pesat. Jadi, saya mencadangkan agar hospital yang dibina kelak mempunyai sekurang-kurangnya 400 katil untuk kemudahan pesakit," katanya.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment