Wednesday, September 2, 2009

Definisi keluarga bahagia


Golongan ibubapa seharusnya sentiasa peka mendefinisikan syurga rumahtangga yang mampu membina sebuah kehidupan bahagia dunia dan akhirat.
Dewasa ini ramai dikalangan keluarga dan masyarakat dahaga serta mengharapkan sebuah keluarga yang bahagia namun pada masa yang sama kita tidak mampu merealisasikan impian itu disebabkan pelbagai hambatan dalam kehidupan yang serba mencabar kini.
Sesungguhnya harapan murni ini mampu dibina dengan jayanya dengan merubah sikap ke arah pembangunan keluarga yang lebih bermakna bermula dengan mendidik anak-anak serta memberikan pelajaran akademik dan pendidikan agama.Kebahagiaan dalam kamus hidup kita mungkin berbeza dengan kamus kebahagiaan orang lain. Merasa bahagia itu terlalu subjektif untuk dihuraikan. Jadi, ciptakan kebahagiaan itu sekarang sebelum kita kehilangannya.
Setiap insan di dunia pasti mengidam sebuah keluarga bahagia namun, hanya mereka yang mematuhi peraturan hidup di dunia dan akhirat serta taat kepada Allah dan RasulNya sahaja yang dapat menikmati kebahagiaan itu.
Sehubungan itu dalam konteks masyarakat Islam, suami atau bapa merupakan Ketua kepada sebuah keluarga dan suamilah orang pertama yang patut memainkan peranan penting melaksana tugas sebagai pemimpin yang berani berubah,demikian juga para isteri atau ibu bersama-sama menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak.Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,menjelaskan kejayaan sesebuah keluarga mencapai tahap rumahtangga bahagia berdasarkan sikap ibubapa memiliki sifat kasih sayang terhadap anak-anak dan isteri dengan memberikan pelajaran sewajarnya disamping menerapkan nilai-nilai budaya bangsa,menghayati serta mengamalkan Rukun Negara disamping mempraktikkan Rukun Islam dan sentiasa meluangkan masa bersama keluarga.
Katanya, dalam dunia penuh pancaroba kini ibubapa perlu meningkatkan tanggungjawab terhadap keluarga serta sentiasa mengawasi anak-anak mereka daripada gejala sosial negatif yang mampu meruntuhkan akhlak sekaligus meranapkan sesebuah masyarakat bertamadun yang akhirnya menggagalkan harapan murni kerajaan yang mengimpikan sebuah negara yang maju membangun melalui Konsep Satu Malaysia yang mendahulukan rakyat dan pencapaian diutamakan.
Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama islam di Sabah mengingatkan ibubapa memberikan ilmu agama kepada ahli keluarga secukupnya; membaca al-qur’an; berjamaah bersama keluarga serta menafkahkan ahli keluarga dengan rezeki yang halal.Disamping itu terdapat banyak faktor dan elemen-elemen penting harus diterapkan kepada anak-anak sejak kecil demi melahirkan sebuah keluarga,masyarakat serta warganegara yang berupaya memikul tanggungjawab mengangkat martabat bangsa,nusa dan agama.
Beliau berkata demikian sempena merasmikan Konvensyen Keibubapaan Peringkat Negeri Sabah 2009 anjuran Mimbar Permuafakatan Ibubapa Nasional (MAPIN) Negeri Sabah di Sea Fest Hotel Semporna.
Datuk Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Senallang,mengingatkan peserta yang juga golongan ibubapa sentiasa prihatin terhadap keluarga dan anak-anak serta memanfaatkan semua ilmu pengetahuan yang diperoleh sempena konvensyen itu.
Katanya penyertaan di dalam sesuatu konvensyen mahupun kursus itu tidak akan bermakna sekiranya sekedar turut hadir meramaikan majlis tanpa menghayati dan memanfaatkan ilmu yang diberikan oleh pakar motivasi mahupun penceramah.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment