Monday, September 14, 2009

Kenalpasti Strategi Kembang Kesenian Islam


Kerajaan dijangka akan menganjurkan siri bengkel/kursus kesenian Islam di seluruh negeri bagi membantu merealisasikan survival kesenian Islam.
Menteri DiJabatan Ketua Menteri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,menjelaskan masyarakat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada acara-acara kesenian yang berorientasikan pertandingan sahaja sebagai mekanisma menjamin survival kesenian Islam seperti nasyid,kompang,seni khat dan marhaban barzanji.
Katanya,masyarakat perlu mengenalpasti strategi lain bagi menjamin kesenian itu terus berkembang maju.
Beliau menegaskan,sebagai satu langkah membantu merealisasikan hasrat itu ialah melahirkan lebih ramai tenaga pengajar dalam bidang-bidang berkenaan membimbing serta melatih generasi muda dari peringkat kanak-kanak.
Sehubungan itu katanya,jabatan-jabatan serta agensi kerajaan berkaitan dengan pengajian,pembangunan dan pengembangan seni budaya masyarakat boleh berperanan secara proaktif untuk merealisasi aspirasi tersebut khususnya dari segi pembiayaan serta penyediaan fasilitator.
Beliau yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di Sabah berkata demikian sempena majis penutupan Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah 1430H/2009M.
Turut hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang TYT Tun Datuk Seri Panglima Haji AhmadShah bin Abdullah dan isteri,Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Masuyah Ag.Japar; Pembantu Menteri Kewangan,Datuk Haji Tawfiq DSP Abu Bakar Titingan dan isteri; Datuk Japlin Akim; Pengarah JHEAINS,Haji Amri Suratman;ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Nasir berkata,semua pihak yang cintakan seni dan para penggiat seni Islam bertanggungjawab menghasilkan karya yang mampu membangun keupayaan intelek,rohani,emosi dan sosial masyarakat.
" Karya seni yang dihasilkan harus juga memberi penekanan terhadap pemupukan nilai-nilai murni,kasih sayang,keadilan serta perjuangan disamping unsur hiburan yang tidak melampau dan tidak melalaikan," katanya.
Sempena majlis itu Johan Nasyid Tradisi di menangi kumpulan nasyid dari Sandakan manakala kumpulan nasyid dari Pantau Barat Utara memenangi nasyid moden dan kumpulan Barzanji & Marhaban di menangi kumpulan dari Pantai Barat Selatan.
Sementara itu seorang penulis dan aktivis seni, Jasni Matlani menerima Anugerah Penulis Islam di sampaikan Tun AhmadShah.

No comments:

Post a Comment