Sunday, January 31, 2010

TYT Akan Ketuai Perarakan 26 Feb ini-Nasir:


JAWATANKUASA INDUK...Datuk Nasir (duduk tengah depan);Datuk Syed Abas (empat kiri);Datuk Amri Suratman(empat kanan);Datuk Abdullah Hussin(tiga kanan)serta sebahagian AJK Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1431H/2010M mengabadikan gambar kenangan sempena mesyuarat itu di Kota Kinabalu.


 
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah,Tun Haji AhmadShah Abdullah dijangka akan mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul SAW 1431H/2010M Peringkat Negeri Sabah 26 Febuari 2010 bermula jam 6.00 pagi.

Perarakan yang bermula dari Padang Merdeka menuju ke Dewan Sa'adah Wisma Muis juga akan disertai Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Masuyah Ag.Japar; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman dan isteri,Datin Seri Hajah Faridah Tusin; Menteri-Menteri kabinet Negeri Sabah,Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan dan Agensi-Agensi Kerajaan Negeri & Persekutuan serta isteri/suami masing-masing dan masyarakat Islam.

Kesemua peserta perarakan akan berhimpun di Dewan Sa'adah MUIS bagi memeriahkan lagi majlis pelancaran sambutan yang akan diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuklah penyampaian Anugerah Maulidur Rasul,penyampaian hadiah pertandingan Sepanduk, Kontinjen Terbaik & Kontinjen Teramai perarakan,Anugerah Maulidur Rasul dan ceramah khas Maulidur Rasul.

Sementara itu bagi memeriahkan lagi sambutan itu satu Segmen Khas Maulidur Rasul di Radio dengan kerjasama sepenuhnya dari Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Kawasan Sabah turut diadakan dengan pengisian Renungan Sirah Rasulullah SAW dan Kuiz Sirah Rasulullah SAW pada seminggu sebelum sambutan Maulidur Rasul setiap jam 5.15 petang di Sabah FM.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW 1431H/2010M Peringkat Negeri Sabah,Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,menjelaskan majlis tahlil dan doa yang merupakan wadah menghayati sirah Rasulullah SAW melalui ibadah-ibadah sunat berdoa,membaca surat Yaasin dan bertahlil turut dilangsungkan pada 25 Februari 2010 bermula jam 5.00 petang di Masjid Negeri Sabah juga akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam Negeri Sabah,menjelaskan tema sambutan Maulidur Rasul 1431H/2010 ialah "Memantap Ukhuwah,Memperkasa Ummah" dan dijadikan asas bagi melaksanakan semua aktiviti/program Maulidur Rasul SAW 1431H/2010M.

Selain itu Datuk Nasir yang juga Menteri DiJabatan Ketua Menteri,berkata objektif sambutan itu meningkatkan rasa cinta terhadap junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan menjadikan Baginda sebagai suri teladan utama dalam kehidupan;mengeratkan ukhuwah Islamiah,mengukuhkan persefahaman dan memantapkan semangat perpaduan(wahdatul ummah);membudayakan ilmu menerusi aktiviti keilmuan dan memantapkan budaya syura dan amal jama'ie di kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian sempena mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW 1431H/2010M dan dihadiri sama Pengerusi MUIS,Datuk Syed Abas Syed Ali,Pengarah JHEAINS,Datuk Amri Suratman,Timbalan Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah,Nor Alam Khan,Timbalan Pengarah (pentadbiran)JHEAINS,Haji Rumaling Epit,Setiausaha Agung USIA,Datuk Haji Abdullah Hussin serta AJK Induk yang terdiri dari kesemua Pegawai-Pegawai Daerah,Ketua-Ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan, Badan-Badan Ngo's dan Ngo's Islam.

No comments:

Post a Comment