Sunday, January 17, 2010

USIA Selar Kenyataan Datuk Mohd.Nazri Aziz Berhubung Isu Kalimah ALLAH


SIDANG MEDIA….Abdullah (tengah) semasa sidang media tersebut

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Nazri Aziz yang menyatakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah Allah di kedua-dua negeri itu.
Setiausaha Agungnya Datuk Haji Abdullah Hussin,berkata, beliau mendapat maklumat dari masyarakat Islam khususnya ahli-ahli (USIA) di Sabah bahawa mereka terkilan dengan kenyataan menteri berkenaan yang disiarkan di salah sebuah akhbar tempatan baru baru ini yang dianggap tidak mencerminkan aspirasi masyarakat Islam di negeri ini.
“Selain tidak mewakili suara majoriti masyarakat Islam di Sabah kenyataan beliau (Nazri) juga dibuat tanpa berbincang dengan pemimpin Islam di Sabah “ katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat (USIA) jalan Sembulan pagi kemarin sebagai mengulas kenyataan Nazri yang menyatakan Penduduk Kristian di Sabah dan Sarawak secara tradisinya telah menggunakan kalimah Allah sejak sekian lama.
Hadir sama di sidang media tersebut Pengarah Dakwah (USIA) Ustaz Abuhurairah Abdurrahman.
Menurut Abdullah pertubuhan tersebut tetap berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dan ianya khusus untuk orang Islam sahaja
Sehubungan dengan itu Abdullah berharap agar sesiapa yang ingin mengeluarkan kenyataan hendaklah memahami dengan mendalam pokok isu berkenaan sebelum membuat sebarang ulasan agar tidak mengelirukan serta mengeruhkan lagi keadaan khususnya bagi umat Islam.
“ Kerajaan telah mempertanggungjawab seorang Menteri yang bertanggungjawab khusus untuk menjaga kepentingan umat Islam iaitu Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharum , justeru kita perlu memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menanganginya tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan umat Islam” tegas Abdullah.
Menurut Abdullah lagi walaupun di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai enakmen yang melarang agama lain menggunakan kalimah Allah namun bukanlah alasan untuk menggunakan kalimah berkenaan sewenang-wenangnya.
Beliau juga menambah(USIA) akan menghantar wakil untuk menyertai muzakarah anjuran Insttiut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur pada 21 Januari ini untuk memberi pandangan dan maklum balas mengenai penggunaan kalimah Allah.








2 comments:

  1. selalunya tindakan yang dibuat secara terburu-buru lebih banyak mendatangkan kesan negatif dari positif. Sikap sabar, tenang dan berhati-hati ketika melakukan sesuatu pasti membuahkan hasil yang baik. Terimakasih.

    ReplyDelete
  2. biasanya apabila kita gegabah dan cepat melatah,akhirnya kita dicemuh mudah kerana kurang upaya membaca haluan isu yang cuba memperdaya akal danminda.wassalam.

    ReplyDelete