Saturday, February 13, 2010

Insiden Di Semporna Bukan Angkara Abu Sayyaf : Hishammuddin



PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan laporan sebuah stesen radio di Filipina bahawa kehilangan dua rakyat tempatan dalam satu rompakan di Semporna, Sabah, pada Isnin lepas adalah angkara kumpulan pejuang pemisah Abu Sayyaf.
     Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata, laporan dan bukti awal yang diterima setakat ini menunjukkan bahawa kejadian itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan berkenaan.
    "Ia tidak ada kaitan dengan aktiviti kumpulan pengganas. Kita masih menyiasat perkara ini, dan saya secara peribadi mengikuti perkembangan kes ini dengan mendalam. Bukti dan laporan yang diterima juga menunjukkan bahawa ia bukan dilakukan oleh pengganas," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong).
    Dalam kejadian pada 8 Februari itu, dua rakyat tempatan berusia 25 dan 40 tahun dilaporkan hilang selepas pelantar di pusat pembiakan rumpai laut di Pulau Sebangkat dekat Semporna, Sabah dirompak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal.
    Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menjelaskan bahawa kejadian itu berpunca daripada kegagalan membayar gaji pekerja pusat pembiakan rumpai laut itu.
    Mengenai mesyuarat hari ini pula, Hishammuddin berkata satu jawatankuasa kerja akan dibentuk oleh Hua Zong bagi memudahkan Kementerian Dalam Negeri menyelesaikan sebarang masalah melibatkan kaum Cina di Malaysia termasuk daripada aspek jenayah, perkauman dan keagamaan.
    Katanya, langkah ini dapat membantu kementerian menjayakan pelbagai agenda yang berkait rapat dengan konteks 1Malaysia, sekaligus mencapai serta memenuhi prinsip yang terkandung di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
     "Dalam mesyuarat hari ini saya telah memberi penjelasan dan penerangan mengenai pelbagai isu, termasuk yang menyentuh mengenai permohonan kenegaraan, kebebasan media dan isu-isu yang berkaitan," katanya.
    Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan berperanan sebagai medan penyelesai masalah kaum Cina dan juga sebagai wakil yang akan merujuk kepada kementerian sekiranya berdepan dengan masalah yang melibatkan soal dasar.
   "(Anggota) jawatankuasa ini mereka sendiri yang akan tentukan dan ia lebih ke arah membantu menyelesaikan masalah di kalangan yang kaum Cina, dan jika ada perkara yang melibatkan dasar, mereka akan rujuk kepada saya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment