Monday, February 8, 2010

Zulkifli Ramal Anggota PKR Keluar Parti Beramai-ramai


(Petikan dari BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meramalkan akan ada anggota parti itu yang bertindak keluar daripada PKR secara beramai-ramai dalam masa dua hingga tiga minggu ini.

Dakwanya senario itu berkemungkinan akan berlaku disebabkan rasa tidak puas hati di kalangan anggota parti terhadap kepimpinan tertinggi PKR yang langsung tidak mengendahkan aduan mereka berhubung masalah yang dihadapi dengan DAP.

"Dah lama aduan dibuat tentang DAP...sejak awal-awal Pakatan Rakyat ditubuhkan lagi.

"Bukan tak guna saluran dalaman...sudah disuarakan dalam mesyuarat dan sebagainya tetapi tiada tindakan diambil," katanya dalam Program Soal Jawab yang disiarkan TV3 di sini malam Isnin.

Beliau mendakwa DAP tidak diperlukan dan merupakan 'duri dalam daging' kepada pakatan tersebut.

"DAP merupakan punca masalah-masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Seperti di Kedah di mana DAP ugut kerajaan tentang pusat pembelaan babi...bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Fairus Khairuddin ditekan sehingga berhenti," katanya.

Ditanya risiko tindakan mengeluarkan DAP daripada Pakatan Rakyat akan menyebabkan pakatan itu hilang kuasa di negeri-negeri yang mereka tadbir sekarang, Zulkifli berkata risiko itu perlu diambil kerana apa yang penting ialah rakyat dan negara.

Selain itu, Zulkifli juga berkata PAS dan PKR seharusnya mengambil peluang untuk mengadakan perbincangan 'Islamiah' dengan Umno dan membuang perasaan buruk sangka atau prejudis.

"Siapa yang memartabatkan perjuangan Islam adalah sahabat kita, tak kiralah PKR, PAS atau Umno," katanya.

Baru-baru ini Zulkifli membuat laporan polis ke atas anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana perbezaan pendapat dalam isu penggunaan nama Allah.

Beliau kini menunggu keputusan Lembaga Disiplin PKR yang mendakwa tindakan beliau itu sebagai melampaui batas.(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment