Monday, February 8, 2010

Royalti Minyak: Antara Realiti Dan Manipulasi Politik

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pembayaran wang ihsan RM20 juta untuk dinikmati penduduk Kelantan mulai bulan depan dianggap satu manifestasi keprihatinan kerajaan pusat bahawa rakyat negeri itu tidak dipinggirkan.

Bayaran itu merupakan lima peratus daripada hasil pengeluaran gas di Medan Bumi Selatan, Blok PM301, yang berdekatan dengan perairan negeri itu, sejak Mei 2008.

Ini bermakna, sekalipun blok itu tidak terletak dalam wilayah perairan Kelantan, rakyat negeri itu masih mendapat manfaat daripada hasil pengeluaran petroleum di kawasan terbabit mengikut "semangat" perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri Kelantan pada 1975.

Persoalannya, adakah isu mendapatkan royalti dan bukannya wang ihsan dibangkitkan oleh kerajaan negeri benar-benar bagi menuntut hak rakyat ataupun ianya sekadar mainan politik untuk menutup isu-isu lain yang sedang dihadapi pentadbiran kerajaan PAS Kelantan?

Bagi penganalisis politik, isu bayaran petroleum itu sama ada disebut sebagai "royalti" atau "wang ihsan" telah dikelirukan oleh banyak pihak dengan kepentingan tertentu.

"Isu sebenar di sini ialah mengenai kebajikan rakyat Kelantan. Jika mereka berhak, maka berilah hak mereka dan sebaliknya jika, tidak berhaklah," kata pemerhati politik Dr Sivamurugan Pandian kepada Bernama di sini.

Tetapi, isu itu telah dikelirukan dengan kenyataan sesetengah pihak tanpa merujuk isu itu secara menyeluruh, kata pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM) itu merujuk kepada beberapa perkara, misalnya, kedudukan kawasan blok yang dituntut itu.

Sebelum ini, veteran Umno dari Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Pengerusi Petronas, dilaporkan berkata rakyat Kelantan berhak untuk mendapat royalti minyak.

Kenyataannya pada satu perhimpunan anjuran kerajaan negeri pada 28 Jan lepas di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di Kota Baharu itu menimbulkan kekeliruan Tengku Razaleigh adalah individu yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri pada 1975 di bawah Akta 144 (Akta Kemajuan Petroleum 1974).

"Kenyataan Ku Li tentunya akan memberikan kelebihan politik kepada PAS tetapi pada masa sama ia mengelirukan," kata Sivamurugan merujuk kepada kenyataan Tengku Razaleigh pada 1 Nov 2000 bahawa kerajaan Terengganu yang ketika itu diterajui PAS, tidak boleh mempertikaikan kedudukan wang ihsan kerana wang disalurkan kepada negeri itu, walaupun atas nama royalti minyak, bukanlah hak negeri itu.

Dalam laporan sama, Tengku Razaleigh juga berkata tiada negeri di Semenanjung yang berhak terhadap hasil minyak yang dijumpai di kawasan di luar "wilayah" mereka.

Pada 3 Feb lepas, beliau menafikan mengeluarkan kenyataannya pada 2000 itu.

Tahun lalu, kerajaan Kelantan menuntut bayaran royalti RM2 bilion terhadap operasi cari gali minyak di perairannya daripada kerajaan pusat, namun negeri itu didapati tidak layak untuk mendapat royalti kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Seksyen 4(2) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 menyebut negeri di dalam Malaysia mempunyai perairan wilayah hanya setakat tiga batu nautika (5.5 kilometer) diukur dari paras air surut.

Menurut Artikel 3 Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu, perairan wilayah Malaysia diukur dari garis pangkal hingga ke kawasan tidak melebihi 12 batu nautika, manakala Artikel 57 konvensyen yang sama, menjelaskan bahawa kawasan "di luar dan bersebelahan" kepada perairan Malaysia yang tidak melebihi 200 batu nautika dari garis pangkal adalah Zon Eksklusif Ekonomi.

Ini menjelaskan kenapa kerajaan Malaysia dan Thailand mewujudkan Pihak Berkuasa Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) pada 1979 untuk membangunkan kawasan bertindih pelantar benua antara kedua-dua negara seluas 7,250km persegi terletak di Teluk Siam di Laut China Selatan, dengan keuntungannya dibahagikan sama rata.

Hakikatnya parti pembangkang termasuk PAS sedia maklum bahawa peruntukan undang-undang yang ada tidak membolehkan tuntutan royalti dan ini terbukti menerusi usul cadangan pindaan Akta 144 oleh ketua pembangkang pada Disember lepas supaya had batasan negeri diperluaskan melangkaui tiga batu nautika sehingga 200 batu nautika.

"Realiti inilah yang tidak diperjelaskan kepada rakyat Kelantan sebaliknya dipolemikkan sebagai modal politik yang seterusnya merugikan semua pihak yang terlibat," kata seorang penganalsis.

Namun seperti ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, kerajaan pusat melalui perbincangannya dengan Petronas memutuskan untuk membayar RM20 juta wang ihsan kepada rakyat Kelantan iaitu lima peratus daripada hasil pengeluaran gas di Blok Medan Bumi Selatan, PM301, sejak Mei 2008.

Kawasan lain yang dituntut iaitu Blok PM302 masih tidak mengeluarkan hasil.

Bagi pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman, isu bayaran minyak itu perlu diselesaikan secara tuntas khususnya mengenai kaedah bayaran wang ihsan RM20 juta itu.

PAS sebelum ini menolak cadangan kerajaan pusat menyalurkan wang itu melalui jawatankuasa khas yang akan dianggotai bersama wakil kerajaan negeri dan kerajaan pusat serta agensi berkaitan bagi memastikan wang itu tidak disalah guna.

Ahmad Nidzamuddin berkata lambat laun rakyat Kelantan akan menerima rasional di sebalik pemberian wang ihsan itu.

"Apa yang penting ialah yang mendapat kebaikan adalah rakyat Kelantan. Soal royalti atau wang ihsan tidak akan timbul lagi kerana kerajaan pusat sudah berlaku adil mengikut peruntukan yang ada," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment