LONDON, 13 Feb (Bernama) -- Tumbangnya satu demi satu 'pagar' Parti Keadilan Rakyat (PKR) seharusnya membuatkan anggota parti itu memikirkan semula sokongan kepada ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Bahkan seluruh rakyat, katanya harus melihat tindakan pemimpin seperti Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar parti menunjukkan bahawa PKR sudah tiada berpotensi untuk memberi sumbangan kepada pakatan DAP-PKR-PAS.
"Berita itu harus dianggap sebagai elemen penggoncang kepada situasi dan politik PKR khasnya dan pembangkang amnya," katanya kepada pemberita di Restoran Jom Makan, restoran masakan Malaysia yang terkemuka di pusat bandar raya ini.
Mengulas lanjut pengumuman Zahrain keluar daripada PKR, Rais berkata bagaimana orang seperti Zahrain sanggup berhenti menjadi anggota parti dan mahu duduk di luar lingkungan PKR, harus dijawab oleh Anwar secara jelas dan tidak mengabui mata rakyat.
"Hilangnya sokongan kepada Anwar itu bermakna PKR memang tidak mampu meneruskan gerakannya lantaran di dalam partinya sendiri pun tidak berupaya memberi keyakinan mengenai keutuhannya dan juga potensinya untuk menyumbang kepada pembangkang (parti pakatan)," kata Rais.
Menurut Rais, banyak pemerhati politik berpendapat perkembangan itu merungsingkan bukan saja anggota PKR tetapi juga parti-parti pembangkang lain.
"Satu penyebab penting ialah rakyat sudah dapat melihat bahawa gagasan 1Malaysia lebih menonjolkan keadilan sosial dan juga kemantapan demi kepentingan rakyat. Sedangkan PKR, PAS, DAP tak ada ramuan untuk diberitahu apa yang mereka nak buat," katanya.
Menganggap perkembangan dalam PKR itu sebagai satu bonus kepada kepimpinan Barisan Nasional, terutamanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keikhlasannya menerusi gagasan 1Malaysia dan perubahan dalam ekonomi serta menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat, katanya.
"Seruan kita sekarang ialah supaya semua 'ketua darjah' dan 'penghulu' dalam PKR harus berfikir dua kali untuk terus menyokong Anwar yang kononnya akan mengambil alih tampuk pimpinan dan kerajaan. Saya berani menyatakan ini adalah igauan dan tak akan menjadi realiti," katanya.
Menjawab soalan, Rais berkata adalah jelas tindakan Zahrain keluar daripada PKR berkait langsung dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana ia berlaku di negeri itu.
"Guan Eng telah gagal merapatkan jurang perbezaan sehingga seorang demi seorang pimpinan daripada PKR meninggalkan beliau termasuk sebelum ini bekas timbalan ketua menterinya," katanya.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment