Tuesday, March 2, 2010

Batal Lesen Jika Peniaga Pajak, Sewa Tapak Kepada Warga Asing-DSP Lajim Ukin

KUANTAN:Peniaga dan penjaja tempatan yang didapati memajak atau menyewa tapak perniagaan kepada warga asing akan berhadapan tindakan dibatalkan lesen perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diminta mengenalpasti peniaga terbabit sebelum mereka diberi amaran untuk menjalankan perniagaan itu sendiri.

"Kita bagi tempoh tiga hingga enam bulan, kalau mereka masih berdegil, kita akan batalkan lesen mereka dan serahkan kepada peniaga tempatan yang lain," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di pasar tani di sini, pada Ahad.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang diperolehi pihaknya, kira-kira 70 peratus tapak perniagaan terutama di Jalan Masjid India dan Chow Kit di ibu negara dipajak atau disewakan kepada warga asing termasuk yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya situasi tersebut jika tidak dibendung akan menjadi lebih serius dan boleh menutup peluang peniaga tempatan yang lain.

"Lebih dua juta pekerja asing bekerja di Malaysia pada masa ini, kalau bidang (perniagaan) ini pun mereka ambil, maka masyarakat tempatan akan kerugian," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) baru-baru ini meminta PBT mengambil tindakan tegas terhadap rakyat asing yang didapati menjalankan perniagaan.

Muhyiddin turut memberi amaran akan mengenakan tindakan terhadap peniaga tempatan yang memajak atau menyewa lesen perniagaan mereka kepada rakyat asing kerana tindakan itu akan menjejaskan sumber pendapatan peniaga tempatan lain.



No comments:

Post a Comment