March 03, 2010 17:51 PM
KOTA KINABALU, 3 Mac (Bernama) -- Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) Datuk Clarence Bongkos Malakun menyifatkan kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang baru-baru ini bahawa masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) "paling rugi" di bawah Barisan Nasional (BN) di Sabah, sebagai tidak berasas dan fitnah.
Beliau berkata agak menghairankan bagi seseorang yang hanya tinggal sekejap di Sabah untuk mendakwa mengetahui mengenai senario setempat dan seterusnya melayakkan dirinya untuk mengulas isu setempat yang jauh menyimpang daripada kebenaran.
Malakun berkata kerajaan BN di Sabah, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, telah menjalankan tugas dengan cemerlang, bukan sahaja membabitkan pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan sosial, khususnya mengekalkan keharmonian antara pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.
"Malahan tahap toleransi antara pelbagai kaum yang tinggal di Sabah diiktiraf oleh banyak pihak sebagai amat unik walaupun mungkin bukan yang terbaik," katanya di sini Rabu.
Beliau berkata tahap toleransi yang tinggi itu adalah disumbangkan oleh hakikat setiap orang tahu diskriminasi berdasarkan latar belakang kaum bukan satu isu di Sabah.
"Malahan, Ketua Menteri sendiri adalah berketurunan separuh KDM. Ibu beliau ialah orang Dusun daripada keluarga Gunsanad berasal daripada salasilah keluarga Sundang dan Sodomon.
"Oleh itu, ini memberikan alasan kukuh kepada Ketua Menteri untuk lebih prihatin dengan kesejahteraan KDM," katanya.
Malakun berkata sejumlah besar masyarakat Kadazandusun di Sabah memegang jawatan penting dalam sektor kerajaan.
"Hakikatnya, dua KDM sedang memegang jawatan peringkat menteri amat penting di peringkat Kerajaan Persekutuan. KDM juga diwakili dengan baik dalam Kabinet negeri.
"Daripada 10 kementerian dalam kerajaan negeri, empat jawatan setiausaha tetap dipegang oleh kaum KDM. Daripada segi biasiswa, sejak di bawah USNO, KDM antara kaum yang paling banyak dipilih sebagai penerima biasiswa negeri," katanya.
Malakun berkata kerajaan negeri dan persekutuan juga berterusan mengambil langkah untuk meningkatkan lagi kehidupan penduduk di Sabah "tanpa mengira siapa mereka".
"Koridor Pembangunan Sabah (SDC), merupakan satu contoh baik akan keseriusan kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan di Sabah.
"Pelbagai program digariskan di bawah SDC oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan golongan miskin dan mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan," katanya.
Memberikan contoh projek agropolitan bagi program membasmi kemiskinan di bawah SDC, katanya program itu menumpukan pada kawasan di Tongod, Pitas, Nabawan, Keningau, Kemabong dan Beluran.
"Ini merupakan kawasan-kawasan yang penduduknya majoriti KDM. Berdasarkan fakta ini, adakah Kit Siang benar-benar mempunyai isu untuk dibangkitkan mengenai KDM di Sabah?," soalnya.
Malakun berkata adalah jelas bahawa kenyataan Kit Siang itu sengaja dibuat untuk mengalihkan tumpuan terhadap krisis politik yang sedang dihadapi pembangkang.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment